suria

BAM yakin kemampuan pemain

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yakin skuad negara berpeluang cerah meraih pingat pada Sukan Asia 2018 di Indonesia bermula 18 Ogos ini, menerusi barisan pemain terbaharu yang dipertaruhkan badan induk itu.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menjelaskan keputusan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM yang memutuskan untuk mengekalkan dua beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, dibuat berdasarkan pengalaman luas dimiliki dua pasangan berkenaan di pentas antarabangsa.

“Kita tidak mahu memberi harapan terlalu tinggi kepada pasangan muda, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sehingga menjejaskan prestasi mereka pada masa akan datang.

“Saya rasa tindakan kita betul untuk mendedahkan mereka dengan beberapa kejohanan antarabangsa berbanding menghantar mereka beraksi pada Sukan Asia, namun dua pasangan negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin perlu membuktikan kemampuan masing-masing,” katanya.

Mohamad Norza berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Liga Remaja Kebangsaan Air Asia-BAM peringkat Selangor yang berlangsung di Dewan Datuk Haji Sidek, Persatuan Badminton Selangor, di sini, Khamis.

Media sebelum ini melaporkan nama Chia-Soh mungkin dipertimbangkan BAM untuk beraksi pada Sukan Asia 2018 selepas mempamerkan aksi cemerlang dengan mara sehingga ke suku akhir Kejohanan Dunia di Nanjing, China, baru-baru ini.

Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM, bagaimanapun, mengekalkan gandingan Goh-Tan serta Teo-Ong, namun menggantikan perseorangan muda negara, Cheam June Wei dengan bekas pemain kebangsaan, Liew Daren untuk menggalas cabaran negara pada Sukan Asia kali ini.

Pemain lain yang akan beraksi pada Sukan Asia 2018 adalah Leong Jun Hao, Soong Joo Ven, Chan Peng Soon dan Goh Soon Huat.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Norza memaklumkan BAM tidak bercadang mengikut langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menghantar pegawai keselamatan bagi mengiringi skuad badminton negara ke Sukan Asia.

BAM meletakkan sasaran dua pingat tanpa mengira warna dalam acara badminton pada Sukan Asia 2018 yang akan berlangsung di Istora Senayan, Jakarta dari 19 hingga 28 Ogos ini. - BERNAMA

BAM, Sukan Asia

Artikel Berikut

Artikel Lain