suria

Malaysia tewas tipis

Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak negara Bawah 23 (B-23) tewas 1-2 kepada skuad B-23 China pada aksi pemanas badan menjelang Sukan Asia 2018 di Stadium Pusat Sukan Olimpik Changzhou, China, malam Ahad.

Pada aksi berkenaan, skuad muda negara terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-14 sebelum pasukan tuan rumah bangkit melakar dua jaringan menerusi sepakan penalti Zhang Yuning pada minit ke-38 dan gol padang Chen Zhechao pada minit ke-53.

Mengulas mengenai keputusan perlawanan, jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee berpuas hati dengan persembahan pemainnya, namun sedikit kecewa dengan ketumpulan jentera serangan.

“Babak kedua kita beri ruang kepada China dan mereka memanfaatkannya dengan baik.

“Secara keseluruhan, banyak peningkatan dipamerkan dan sudah tentu kita ada 10 hari lagi untuk persiapan sebelum aksi sulung Sukan Asia 2018 di Indonesia,” kata Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Audio sidang media berkenaan turut diperolehi Bernama daripada pegawai media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malaysia diletakkan dalam kumpulan E saingan Sukan Asia 2018 bersama juara bertahan Korea Selatan, Bahrain, Republik Kyrgyzstan.

Acara bola sepak Sukan Asia 2018 akan berlangsung dari 10 Ogos sehingga 1 September di empat stadium di Indonesia. - BERNAMA

Malaysia, China

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain