suria

Indonesia sedia terima peserta Sukan Asia 2018

KUALA LUMPUR: Indonesia, tuan rumah Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang  sudah bersedia  menyambut ketibaan lebih 11,000 atlet yang menyertai temasya sukan yang bakal berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla yang melawat beberapa venue dan kemudahan di sekitar Jakarta, berkata beliau berpuas hati dengan kesemua aspek persiapan dan  kerja yang dilaksanakan  Jawatankuasa  Penganjuran Sukan Asia Indonesia (Inasgoc) bagi memastikan edisi ke-18 sukan empat tahun sekali itu berjalan lancar.

“Mengenai kemudahan di Kompleks Sukan Gelora Bung Karno dan persiapan yang lain, kami membuat kesimpulan bahawa Indonesia sudah bersedia untuk melaksanakan Sukan Asia.

"Ini termasuk venue dan infrastruktur, kerja-kerja yang dilaksanakan  Inasgoc dan persiapan atlet-atlet kami.  Ini adalah acara sukan yang amat besar yang pernah kami laksanakan dan infrastruktur paling banyak  kami bina.

Atlet-atlet juga lebih bersedia kerana latihan di dalam dan luar negara,” katanya sebagaimana dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Olimpik Asia.

Dalam hal ini, Jusuf berharap kesemua persiapan itu akan menghasilkan keputusan yang baik di gelanggang dan juga buat rakyat Indonesia.

“Selepas satu minggu lagi, kami akan memeriksa semula persiapan akhir,” katanya ringkas.

Sukan Asia ke-18 mempertandingkan 40 sukan, terdiri daripada 67 disiplin dan 465 acara, dengan penyertaan 11,300 atlet dari 45 negara Asia.

Ini kali kedua Indonesia menganjurkan temasya sukan ini.  Indonesia buat julung kali menganjurkan Sukan Asia di Jakarta pada tahun 1962.- Bernama

Sukan Asia 2018

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Liew Daren langkah kanan

Artikel Lain