suria

Syed Saddiq sanggah desas desus tentang Chong Wei

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyanggah desas desus kononnya  keputusan Datuk Lee Chong Wei menarik diri daripada Sukan Asia di Jakarta dan Kejohanan Dunia di Nanjing, China mempunyai kaitan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Laporan itu adalah fitnah dan tidak benar....Itu fitnah dan penipuan serta memalukan hero kebangsaan kita. Perbezaan politik itu biasa tapi kita tidak boleh lupa jasa beliau yang telah mengharumkan nama negara,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Anggota  Parlimen Muar itu juga menafikan akaun milik jaguh badminton itu dibekukan kerana dikaitkan dengan dana 1MDB.

Syed Saddiq  berkata Chong Wei mengesahkan bahawa beliau dapat  tidak beraksi pada Kejohanan Dunia dan Sukan Asia selepas mengalami masalah pernafasan yang memerlukan beliau berehat selama sebulan.

“Pada minggu lepas, saya berkesempatan ke rumah beliau di mana beliau telah mengekspresikan terpaksa menarik diri daripada Sukan Asia dan Kejohanan Dunia kerana masalah pernafasan.

“Saya berharap bahawa pencinta sukan dan para media boleh berikan ruang kepada beliau untuk pulih sepenuhnya. Beliau ialah hero kita, atlet kita dan kita perlu bantu sebaik mungkin,” katanya.

Katanya, sebagai seorang atlet yang telah banyak berjasa kepada negara, Chong Wei wajar mendapat ruang peribadi terutama ketika menjalani proses rawatan dan pemulihan daripada masalah kesihatan yang dialaminya sekarang.

“ Saya meminta agar rakyat Malaysia khususnya pencinta sukan badminton dan media memberi ruang kepada jaguh negara Datuk Lee Chong Wei menjalani proses pemulihan dengan tenang,” katanya Difahamkan Chong Wei kini berada di Taiwan bagi menjalani rawatan. - Bernama

Syed Saddiq

Artikel Sebelum

Artikel Lain