suria

Kelantan isi slot terakhir Piala Malaysia

Penjaga gol Kelantan, Mohamad Faridzuean menangkap kemas bola dalam usaha memastikan kubu akhirnya tidak dibolosi pada pertemuan menentang Pahang dalam aksi terakhir Liga Super di Kota Bharu, malam Ahad.

KELANTAN mengesahkan slot terakhir ke pertandingan Piala Malaysia setelah menewaskan Pahang 2-1 dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam Ahad.

Dua gol sumbangan Mohd Danial Ashraf Abdullah dan Shafiq Shaharudin dalam babak berbeza memastikan skuad kendalian Yusri Che Lah tidak tercicir ke pertandingan piala paling berprestij itu.

Bukan itu sahaja, kemenangan tersebut turut meleburkan impian Pahang untuk bergelar naib juara apabila sekadar menamatkan saingan di tangga keempat.

Kejayaan meraih tiga mata itu juga melonjak Kelantan ke tangga kesebelas namun kekal tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan.

Beraksi di depan 460 penyokong setia,  tuan rumah terlebih dahulu menguji pintu gol Pahang menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-12 namun rembatan leretnya jauh tersasar.

Pelawat yang tersentak dengan percubaan tersebut mula melancar serangan tetapi rembatan Norshahrul Idlan Talaha menyaksikan bola sekadar melintasi gawang tuan rumah, lima minit kemudian.

Peluang kedua terbaik skuad Tok Gajah hadir sekali lagi pada minit ke-19 namun tampanan Mohd Faisal Mohd Rosli berpunca hantaran lintang Mohamadou Sumareh dinafikan penjaga gol, Mohamad Faridzuean Kamaruddin.

Minit ke-23 menyaksikan The Red Warriors terus diasak menerusi hantaran silang Mohd Faisal tetapi Iwuji Amutu gagal menanduk tepat ke kubu akhir tuan rumah.

Malah Amutu yang pernah beraksi bersama Kelantan pada musim 2015 turut terlepas peluang keemasan untuk menghadiahkan jaringan pendahuluan buat pasukannya apabila percubaan derasnya diselamatkan Mohamad Faridzuean, pada minit ke-32.

Ketika aksi babak pertama tampak berkesudahan berakhir dengan tanpa jaringan, tuan rumah mengejutkan pelawat menerusi jaringan Mohd Danial Ashraf, 10 minit kemudian.

Penyerang skuad Piala Presiden Kelantan itu bijak memanfaatkan peluang terhidang dalam kotak penalti apabila melepaskan rembatan jarak dekat sekali gus menewaskan Mohd Helmi Eliza Elias di pintu golnya.

Minit ke-56 menyaksikan Pahang hampir menyamakan kedudukan namun Mohd Faisal mensia-siakan peluang terhidang setelah menyepak tinggi ketika gawang Kelantan ternganga luas selepas Mohd Faridzuean terkeluar daripada posisinya.

Usaha keras anak buah Dollah Salleh akhirnya membuahkan hasil apabila Iwuji Amutu menyambar hantaran pendek kapten, Matthew Davies dengan menolak masuk gol penyamaan, pada minit ke-65.

Aksi selepas itu lebih banyak dikuasai pelawat menerusi serangan bertali arus dari kedua-dua sayap namun benteng pertahanan Kelantan berjaya mengekang setiap asakan lawan.

Menuju minit ke-71, Pahang nyaris menggandakan jaringan namun percubaan tepat Mohamadou Sumareh dinafikan penjaga gol tuan rumah.

Lima minit berselang, kedudukan kembali berubah dengan Kelantan mendahului 2-1 apabila Shafiq melepaskan percubaan kencang sekali gus gagal diselamatkan Mohd Helmi Eliza.

Pelawat yang bagaikan terkejut dengan jaringan itu berusaha mencari gol penyamaan namun keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan. - Sinar Harian

Kelantan, Piala Malaysia

Artikel Lain