suria

Tabung dana khas bantu PFA

Mohd Abd Karim Khan (empat, kanan) ketika bersama pemain Perlis di sebuah hotel penginapan.

KANGAR: Tabung Khas Dana Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang dilancarkan pada 25 Julai lalu bukan bertujuan untuk 'mengemis' sebaliknya dilakukan bagi menunjukkan tanda sokongan penyokong kepada Singa Utara.

Naib Presiden PFA, Mohd Abd Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, tabung itu dilancarkan selepas mendapat sokongan daripada penyokong Singa Utara menerusi bancian yang dilakukan di laman sosial.

Menurutnya, langkah tersebut dilakukan sebagai jalan sementara untuk membantu pemain Perlis yang tidak menerima gaji sejak beberapa bulan lalu namun masih bermain demi lencana di dada.

“Kita bukan mahu mengemis. Apa yang dilakukan ini adalah susulan kepada kenyataan Exco Sukan Perlis, Hamizan Hassan bahawa kerajaan negeri tidak dapat membantu PFA.

“Bancian dibuat di Facebook rasmi PFA dan 80 peratus penyokong yang mengikuti bancian ini bersetuju agar tabung khas diwujudkan,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.

Jumlah terkumpul Tabung Khas Dana Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) kini menjangkau RM205 setakat jam 5 petang Jumaat.

Angka itu menunjukkan peningkatan selepas kutipan pada hari pertamanya hanya mencecah RM75 selepas tabung tersebut dilancarkan menerusi Facebook rasmi PFA.

Mohd Abd Karim Khan berkata, beliau melihat ada peningkatan dari sudut sokongan dan berharap ia akan berterusan sebelum satu kerangka baharu diwujudkan untuk memperkasakan persatuan tersebut pada musim 2019.

Dalam pada itu, laman Facebook rasmi PFA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyokong setia Singa Utara yang masih sanggup memberikan sumbangan untuk meringankan beban persatuan tersebut.

Menurutnya, PFA menyeru kepada semua penyokong untuk kembali membina pasukan tersebut selepas menghadapi masalah kewangan yang cukup mendesak.

“Walaupun hanya RM1.00 disumbangkan, ia lebih bermakna dari satu kritikan tidak membina, teruskan memberi sumbangan demi bola sepak Perlis,” katanya.-Sinar Harian

Perlis, PFA

Artikel Berikut

Setuju atau lupakan Hazard

Artikel Lain