suria

JDT julang trofi Liga Super kali kelima

JOHOR BAHRU: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut, menjulang trofi kemenangan itu dengan bergaya selepas menewaskan Kelantan 4-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam Jumaat.

Keputusan tersebut menyaksikan JDT terus gah di persada liga dengan mengumpul 53 mata setelah mengharungi 20 aksi setakat ini, 18 mata meninggalkan pencabar terdekat, Perak yang mengutip 35 mata.

Kelantan pula yang mengumpul 15 mata setelah hanya merekodkan empat kemenangan serta tiga seri kekal di tangga tercorot dan hampir pasti berdepan penyingkiran daripada saingan Liga Super musim depan.

Pada aksi malam tadi, empat gol skuad Harimau Selatan dijaringkan pada babak kedua perlawanan setelah kedua-dua pasukan yang saling melancarkan serangan, buntu dalam usaha membolosi gawang lawan.

Gol pertama JDT hadir pada minit ke-50 menerusi percubaan jarak jauh pemain import dari Argentina, Fernando Elizari yang gagal ditampan penjaga gol pasukan pelawat, Mohd Shahrizan Ismail, sebelum Mohd Afiq Fazail memanfaatkan kekalutan di hadapan pintu gol Kelantan untuk menjaringkan gol kedua JDT, selang lima minit kemudian.

Kelantan yang cuba bangkit dengan membawa masuk beberapa pemain gantian, bagaimanapun gagal mengekang asakan pasukan tuan rumah untuk meledak gol ketiga menerusi rembatan kencang pemain muda negara, Mohd Safawi Rasid pada minit ke-79.

Kapten pasukan, Safiq Rahim menambah derita Kelantan dengan gol keempat menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil perlawanan selepas pemain pertahanan S. Kunalan dikasari pemain Kelantan dalam kawasan berbahaya.

Trofi kejuaraan Liga Super disampaikan Presiden JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim sambil disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, sebelum piala itu akan dibawa ke Dataran Bandaraya untuk diraikan bersama ribuan penyokong JDT dalam satu majlis sambutan kemenangan tersebut, lewat malam tadi. - BERNAMA

JDT, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain