suria

Florence Jadi Lautan Ungu Iringi Pemergian Davide Astori

RIBUAN peminat berhimpun di Florence pada Khamis untuk memberikan penghormatan terakhir kepada kapten pasukan Fiorentina, Davide Astori yang menghembuskan nafas terakhir secara tiba-tiba akibat serangan jantung pada Isnin.

Pemain itu meninggal dunia pada usia 31 tahun.

Keranda Astori tiba di Basilica di Santa Croce dalam kereta Maserati dan disambut oleh ribuan hadiran yang berkumpul di hadapan sebuah gereja.

Dataran itu bertukar ungu ketika mereka mengibarkan bendera Fiorentina dan selendang sebagai tanda penghormatan.

Ramai jaguh bola sepak Itali hadir pada upacara tersebut termasuk rakan sepasukan mendiang, dan legenda Itali serta Juventus iaitu Gianluigi Buffon dan Giorgio Chiellini.

Pemain tersebut baru pulang daripada perlawanan suku akhir menentang Tottenham di Stadium Wembley dalam Liga Juara-Juara pada malam sebelumnya.

Bercakap selepas perlawanan itu, Chielline yang masih beremosi mendedikasikan kemenangan itu kepada Astori.

"Kami menujukan kemenangan ini kepadanya, tapi bukan perlawanan ini sahaja.

"Saya menangis banyak kali, saya sentiasa percaya kepadanya kerana dia seorang pemain yang hebat," katanya.

Astori meninggalkan pasangannya Francesca Fioretti dan seorang anak perempuan mereka yang berusia dua tahun.

Pada Ahad, Buffon memuat naik gambar di Instagram yang ditujukan kepada anak sahabatnya itu dengan kapsyen: "Dia berhak tahu bahawa ayahnya ialah seorang yang sempurna, seorang yang amat sempurna."

Astori memulakan kariernya di AC Milan sebelum pindah ke Cagliari.

Mendiang kemudiannya memilih untuk meneruskan perjuangannya bersama Fiorentina selepas berkhidmat di Roma pada tahun 2014 hingga 2015. - Russia Today

Davide Astori