suria

Salah Jadi Suri Teladan Buat Oxlade-Chamberlain

PEMAIN kebangsaan England, Alex Oxlade-Chamberlain menganggap hero terkini Liverpool, Mohamed Salah sebagai sumber inspirasi buatnya.

Kenyataan itu dibuat Oxlade-Chamberlain selepas Salah melakukan jaringan pada kemunculan ketujuh berturut-turut pemain antarabangsa Mesir itu bersama Liverpool pada Ahad lalu.

Dalam pertemuan berkenaan The Reds menundukkan Newcastle - pasukan yang dibimbing tokoh yang pernah membawa kegemilangan buat Liverpool, iaitu Rafael Benitez - dengan 2-0.

Satu daripada gol berkenaan dijaringkan oleh Salah, manakala satu lagi hasil kelincahan Sadio Mane.

Jaringan Salah di Anfield itu meletakkan namanya sebaris dengan penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane, dengan masing-masing sebanyak 24 gol bagi musim 2017/18.

Sebenarnya tidaklah mengejutkan jika Oxlade-Chamberlain berasa kagum kepada Salah.

Sebelum ini pun Salah sudah memukau jutaan penyokong tegar Liiverpool melalui aksi lincah, licik dan berbisanya mengkucar-kacirkan lawan.

Sebelum bermain di England, Salah, 24, beraksi bersama kelab Serie A Itali, AS Roma.

Oxlade-Chamberlain pula baru menyarung jersi The Reds sejak awal musim ini selepas meninggalkan Arsenal.

Yakin masih banyak yang boleh dilakukannya untuk Liverpool, Oxlade-Chamberlain melihat kepada Salah sebagai pendorongnya untuk menjadi lebih menyengat.

"Ada banyak yang saya boleh pelajari daripada Salah. Lihatlah bagaimana dia pada musin ini.

"Memang jelas dia seorang pemain hebat. Apabila kamu bersaing dengan Kane dan Sergio Aguero untuk menjadi penjaring terbanyak, kamu mesti belajar daripada mereka," katanya.

Selain Salah dan Kane, mengekori mereka ialah Aguero yang bermain untuk Manchester City.

Aguero, 29, sudah menjaring 21 gol untuk musim ini. Di tempat ketiga ialah seorang lagi pemain City, Raheem Streling dengan 15 gol.

Kata Oxlade-Chamberlain mungkin tidak ramai yang menjangkakan Salah mampu menyinar begitu ketara pada musim ini.

"Untuk menjadi seperti Salah, ia bergantung kepada kekuatan mental dan dia bekerja keras untuk menjadi yang terbaik," katanya.

Salah, Chamberlain

Artikel Lain