suria

Thunderbolt Sasar Kejuaraan Berganda Liga Hoki Remaja

SSTMI Thunderbolt akan mempamerkan aksi terbaik untuk memastikan kedudukan pasukan itu kekal berada di persada liga. - Facebook Malaysian Hockey Confederation

KUALA LUMPUR: Juara Piala TNB Hoki Remaja, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt tidak memandang rendah dan ambil mudah kepada mana-mana pasukan dalam Liga Hoki Remaja (LHR) yang akan bermula 7 Mac ini.

Jurulatihnya, Wan Roslan Wan Abdul Rahman berkata walaupun turun selaku pasukan pilihan, beliau tidak mahu anak buahnya berasa selesa sebaliknya perlu mempamerkan aksi sebenar dalam setiap perlawanan yang berlangsung nanti.

"Kami masih mengekalkan pemain daripada musim lalu dan ada beberapa pemain pernah beraksi dalam Liga Premier musim ini. Saya berharap pasukan akan menunjukkan satu perkembangan yang bagus.

"Dalam LHR musim ini, terdapat pasukan daripada divisyen dua musim lalu telah naik ke divisyen satu seperti pasukan dari Sabah dan Melaka, bagi saya ia satu perkembangan yang bagus, pasukan tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka sebaliknya mengambil ia satu cabaran,” katanya pada sidang media LHR 2018 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, Sabtu.

Wan Roslan berkata pasukannya turut menyasarkan kejuaraan berganda musim ini iaitu mengatasi pencapaian musim lalu dengan satu kejuaraan.

Beliau optimis pasukannya akan mempamerkan aksi terbaik untuk memastikan kedudukan SSTMI Thunderbolt kekal berada di persada liga musim ini.

"Memang ada tekanan pada pasukan, tahun lepas kita dapat satu kejuaraan, harapan kita adalah podium, sekiranya pasukan bejaya meraih kejuaraan berganda ia merupakan satu bonus," katanya.

Sementara itu, juara bertahan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ Tigers) akan dibarisi gandingan lama dan baharu pada musim ini dalam misi mempertahankan kejuaraan itu.

Jurulatihnya, Mohd Harfizi Baharom berkata walaupun turun sebagai juara bertahan, beliau menyifatkan pasukannya kali ini adalah 'únderdog' kerana beliau hanya mengekalkan 10 pemain lama.

"Saingan kali ini tidak mudah kerana pasukan seperti SSTMI Thunderbolt mempunyai pemain yang bermain di peringkat lebih tinggi seperti Piala Sultan Johor dan Liga Premier.

"Sasaran sudah tentu juara, kami akan berusaha memastikan kejuaraan itu dikekalkan. Saya berharap pemain cepat memahami taktikal di atas padang dan memberikan keputusan cemerlang dalam setiap perlawanan,” katanya. - Bernama

Liga Hoki Remaja

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain