suria

Netizen Puji Melaka United Bantu Southern FC

Skuad Southern FC menang pada saingan pertama Piala FA 13 Februari lalu. Foto kredit: Instagram SouthernFC

PETALING JAYA: Rata-rata penyokong bola sepak tempatan memuji tindakan Melaka United dalam membantu pasukan Southern FC.

Berdasarkan tinjauan di laman sosial, rata-rata netizen menyokong tindakan pasukan Liga Super itu meringankan beban Southern FC yang sepatutnya menjadi tuan rumah pada pusingan kedua Piala FA.

Southern FC dari pasukan Liga Sosial layak ke pusingan kedua selepas mengejutkan pasukan Liga FAM, Selangor United 2-1 dalam aksi pusingan pertama di Stadium Mini Kompleks Penjara Kajang, minggu lalu.

Berikutan kejayaan tersebut, Southern FC bakal menyambut kedatangan Melaka FC, namun mereka telah membuat permohonan rasmi kepada pasukan Melaka supaya mendapat hak sebagai tuan rumah.

Sebahagian komen oleh netizen di Facebook rasmi FMLLP.

Ia mengambil kira kemampuan Southern FC yang terhad terutamanya dari segi kewangan, pengalaman dan logistik.

Menurut kenyataan Setiausaha Agung Melaka United, Noor Azman Rahman yang dimuat di laman Facebook Kerjasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP). Melaka telah bersetuju memberi bantuan sebanyak RM 15,000 kepada pasukan Southern FC.

Tiket 'complimentary' sebanyak 200 keping  turut diberikan, juga tempat letak kereta khas bagi pemain dan pegawai Southern FC.

Jika mengikut Peraturan Pertandingan Piala FA Malaysia pada Pusingan Ke-2 dan Ke-3, pasukan tuan rumah wajib memperuntukkan sejumlah RM10,000 kepada pasukan pelawat bagi tujuan logistik, penginapan, makan dan minum pasukan.

Dalam pada itu, Southern FC turut memuat naik status mengenai situasi ini.

"Kami baru sahaja melengkapkan pertukaran hak tuan rumah bagi Pusingan Ke-2 Piala FA Malaysia 2018. Melaka United bakal menjadi tuan rumah untuk perlawanan kami yang dijadualkan berlangsung pada 4 Mac 2018 di Stadium Hang Jebat pukul 9 malam.

"Kami ingin merakamkan terima kasih dan sekalung penghargaan pada Melaka United dalam persetujuan menjadi tuan rumah untuk perlawanan ini. 

"Kami juga berterima kasih pada Setiausaha Agung Melaka United, Noor Azman Rahman untuk penampilan profesional beliau dalam mengendalikan hal ini tanpa mengira darjat antara dua kelab bola sepak ini. Maklum balas yang amat lancar membolehkan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dalam beberapa hari sahaja".


Piala FA Kedua, Southern FC

Artikel Berikut

Wenger Tagih Keringat Welbeck

Artikel Lain