suria

"Jelajah Malaysia Milik Pelumba Tempatan"

Saingan Jelajah Malaysia 2017.

KUALA LUMPUR: Kejohanan berbasikal Jelajah Malaysia (JM) 2018 yang akan diadakan pada 2 hingga 6 Oktopber, merupakan platform terbaik bagi pelumba tempatan mencipta nama.

Ketua Pegawai Eksekutif JM 2018, Noraidiazhar Sulaiman berkata ia akan menjadi satu kerugian sekiranya pelumba tempatan yang terpilih menyertai JM 2018 tidak mengambil kesempatan sepenuhnya ketika perlumbaan itu berlangsung.

“Memang rugi seandainya kita anjurkan JM, tetapi ia tidak dimanfaatkan oleh pelumba tempatan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media JM 2018 di sini hari. Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata JM adalah satu kejohanan untuk memberi pendedahan serta mencungkil bakat pelumba tempatan.

“JM milik pelumba tempatan. Inilah platform terbaik untuk  mereka (pelumba) kerana tidak ada lagi kejohanan seperti itu yang boleh mengetengahkan pelumba tempatan kita di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Noraidiazhar memberi jaminan isu hutang atau masalah kelewatan pembayaran wang kemenangan tidak akan berulang pada edisi ke-54 ini, seperti yang berlaku pada edisi lepas.

“Jaminan kami sebagai pihak penganjur, kami akan menjelaskan semua wang kemenangan JM 2018 sebulan sebelum kejohanan bermula.

“Ia selari dengan peraturan UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) iaitu wang kemenangan harus diserahkan kepada PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia)  30 hari sebelum kejohanan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Noraidiazhar turut mengumumkan beberapa pembaharuan pada JM 2018, antaranya mengadakan kejohanan berbasikal bersama persatuan negeri, bagi memilih pasukan negeri untuk mewakili negara pada JM.

“Kita akan mengadakan kejohanan selama tiga hari di peringkat negeri dan kita akan memilih lima pasukan negeri terbaik untuk dibawa menyertai JM,” katanya.

Bagi mempromosi JM 2018 yang merupakan kejohanan berbasikal tertua di Malaysia, beliau berkata pihaknya bakal mengadakan jerayawara di empat negeri untuk membangkitkan debaran penyokong tempatan terhadap perlumbaan itu.

“Destinasi promosi jerayawara ini akan diadakan di Ipoh, Kemaman, Alor Setar dan terakhir di ibu negara, bermula April ini,” katanya.

Laluan bagi edisi kali ini melewati kawasan Pantai Timur dan kawasan tengah iaitu sekitar Kuala Lumpur dan tidak melibatkan kawasan Utara.

JM 2018 yang berstatus 2.2 oleh UCI akan berlangsung selama lima hari, dan termasuk dalam Kalender Jelajah Asia, menawarkan hadiah wang tunai RM120,000.

Untuk rekod, JM mula dianjurkan pada 1963. -Bernama

Jelajah Malaysia 2018

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Berikut

Artikel Lain