suria

Bekas Penyerang England Dakwa Ramai Atlet Jadi Mangsa Penderaan Seksual

NOVEMBER 2016 menjadi titik permulaan apabila bekas pemain antarabangsa England, Paul Stewart mendedahkan kisah gelapnya menjadi mangsa pencabulan seksual oleh jurulatih bola sepak remaja.

Stewart, 53, bekas penyerang dan pemain tengah untuk Blackpool, Manchester City, Tottenham, Liverpool dan Sunderland, kini mendedikasikan dirinya untuk melindungi generasi muda dari menjadi mangsa pedofilia sepertinya.

Malah, dia berharap kisahnya akan memberi keberanian untuk mangsa-mangsa lain agar tampil membuka cerita.

"Sewaktu saya tampil mendedahkan kisah saya pada November 2016, saya tidak berniat untuk mendapatkan apa-apa balasan.

"Lelaki yang mencabul saya sudah meninggal pada 2005. Saya memang tak akan dapat lihat dia dihadapkan ke mahkamah.

"Tapi saya bercakap bagi  perubahan dalam cara kita melindungi anak-anak," ujar Stewart.

Stewart merupakan pemain kebangsaan England.

Tambah Stewart lagi, perlakuan ini bukan sahaja berlaku dalam bola sepak malah turut wujud dalam sukan lain seperti kriket, gimastik dan sebagainya.

"Ramai mangsa yang tampil membuat pendedahan seperti saya, namun masih ramai juga yang memilih untuk berdiam diri.

"Biasanya mangsa akan mengambil masa 20 hingga 30 tahun untuk tampil mendedahkan perkara ini. Cuba bayangkan  kerosakan yang berlaku dalam tempoh itu.

"Ia bagaikan bom jangka dalam kepala," kata Stewart.

Dalam pada itu, Barry Bennel, 64, pencungkil bakat muda untuk Manchester City dan Crewe Alexandra bakal dijatuhkan hukuman setelah didapati bersalah melakukan 50 penderaan seksual terhadap 12 budak lelaki.

Dia juga merupakan sahabat kepada Frank Roper, jurulatih yang mencabul Stewart sewaktu pemain itu bermain untuk kelab Nova suatu ketika dahulu.

Walaupun Stewart berjaya sebagai seorang pemain bola sepak, dia bergelut dengan alkohol dan dadah kerana tekanan atas apa yang berlaku pada dirinya.

Tahun lalu, Stewart bersama mangsa lain seperti Ian Ackley, Derek Ball dan David White menubuhkan SAVE Assosiation bagi membantu mangsa penderaan seksual.

Penderaan Seksual, Pedofilia, England

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain