suria

FMLLP Dedah Empat Pasukan Gagal Lengkapkan Dokumen Pendaftaran

Kevin Ramalingam

PETALING JAYA: Selepas tiga perlawanan Liga Malaysia, Kerjasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mendedahkan beberapa pasukan yang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran.

FMLLP sebelum ini telah memberi dua kali peluang untuk pasukan melengkapkan dokumen pendaftaran, namun terdapat juga pasukan yang gagal berbuat demikian.


“Seperti kenyataan yang pernah kami keluarkan sebelum ini, tarikh akhir menghantar dokumen adalah pada 3 Februari 2018.

“Tarikh itu merupakan tarikh yang telah dilanjutkan sebanyak dua kali untuk membolehkan pasukan terbabit lengkapkan dokumen yang perlu.

"Tarikh akhir yang asal ialah pada 29 Disember 2017 dan ia telah dilanjutkan kepada 14 Januari 2018 sebelum dilanjutkan lagi kepada 3 Februari 2018,” jelas FMLLP dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi pada Isnin.

Dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan Kuala Lumpur tidak menghantar dokumen yang tidak lengkap, manakala dua pasukan  iaitu Selangor dan PKNS FC telah menghantar melepasi tarikh akhir yang diberikan.


“Selangor telah melengkapkan dokumen pada 11 Februari 2018, manakala PKNS FC pula pada 19 Februari 2018.

“Bagi pasukan 100PLUS Liga Premier Malaysia 2018 pula, empat pasukan masih tidak melengkapkan dokumen pendaftaran iaitu pasukan Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA dan PDRM.

“Manakala ada dua pasukan telah menghantar dokumen melepasi tarikh akhir yang telah ditetapkan. MIFA telah menghantar pada 15 Februari 2018, manakala pasukan UKM FC pula telah menghantar dokumen pada 19 Februari 2018.” 

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam  menggesa agar semua pasukan melengkapkan segala dokumen pendaftaran jika tidak mahu insiden dikenakan hukuman pemotongan mata seperti musim lalu berulang.

Sebagai rekod, tahun lalu enam mata dipotong kepada dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan T-Team, serta dua pasukan Liga Perdana, ATM dan Perlis kerana gagal menyelesaikan dokumen pendaftaran.

FMLLP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain