suria

Karathu Dalam Radar Kafa

PETALING JAYA: Bekas pengendali Perak, Datuk M Karathu antara calon jurulatih yang berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk dibawa masuk menggantikan Sathit Bensoh.

Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mendedahkan Karathu antara nama terbaru dikaitkan dengan pasukan itu selain beberapa jurulatih lain dari luar negara.

"Memang betul, beliau salah satu calon yang menarik minat Kafa. Selain itu ada juga dari Croatia, Iran dan Nigeria yang menghantar permohonan secara rasmi menerusi e-mel, sebelum ini.

"Setakat ini pihak Kafa sudah hubungi Karathu tetapi belum ada perbincangan lanjut melibatkan kedua-dua pihak. Ia mungkin lebih kepada bertanya khabar terlebih dahulu," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Kafa mengumumkan pemecatan Sathit susulan prestasi buruk Kelantan selepas mengharungi tiga perlawanan awal Liga Super sekali gus menyaksikan skuad kendaliannya menghuni tangga tercorot.

Ekoran penyingkiran ketua jurulatih dari Thailand itu, penolongnya, Yusri Che Lah diberi mandat memangku tugas selaku pengendali interim sehingga Kafa menemui calon sesuai untuk mengisi 'kerusi panas' nombor satu pasukan berkenaan.

Sementara itu, Karathu ketika dihubungi mengakui berminat untuk kembali bersama The Red Warriors selepas kali terakhir mengemudi pasukan pantai timur itu, pada musim 2011.

"Memang benar saya ada dihubungi pihak Kafa, adalah sedikit sebanyak bercakap mengenai jawatan (ketua jurulatih) itu tetapi belum ada tawaran rasmi daripada mereka. Saya rasa lebih elok kita bincang, jumpa lagi bagus mungkin (pertemuan) di Kuala Lumpur pun tak ada masalah.

"Jika anda tanya adakah saya sedia ke Kota Bharu, ya saya sanggup malah sudah bersedia sekali lagi mencurah pengalaman untuk melatih pasukan ini. Kalau tak dapat sesuatu dalam Liga Super, mungkin saya boleh usahakan piala (Piala FA dan Piala Malaysia) untuk Kelantan," katanya.

Untuk rekod, Karathu pernah membimbing Kelantan mara ke separuh akhir Piala Malaysia pada tahun 1993 selain mencipta sejarah membantu pasukan itu menjulang Piala Sumbangsih dan Liga Super buat pertama kali, musim 2011.

Kali terakhir jurulatih berusia 74 tahun itu terbabit dalam kancah Liga Malaysia pada musim 2015 ketika membimbing pasukan negeri kelahirannya, Perak.

Datuk M.Karathu, Kafa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain