suria

Ginney Mahu Ahmad Bashah Kekal Presiden KFA

Ahmad Bashah Md Hanipah.

ALOR SETAR: Penaja utama skuad Lang Merah, ECK Development Sdn Bhd akan mempertimbangkan semula penajaan sekiranya Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meletakkan jawatannya itu seperti yang didesak pihak tertentu.

Pengarahnya  Puan Sri Ginney Chew berkata, beliau merasakan tiada sebab Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah melepaskan jawatannya selaku presiden KFA kerana beliau telah melakukan tugasnya dengan baik dan sentiasa berfikiran terbuka dalam sesuatu pendapat yang diutarakan.

"Semasa saya mencadangkan agar Kedah menggaji Ramon Marcote sebagai jurulatih utama, dengan memberi keyakinan bahawa corak latihan jurulatih itu sesuai untuk pemain Kedah dan beliau disukai peminat dan penyokong, Menteri Besar telah menyatakan kesediaan beliau untuk melihat perkara itu dengan serius.

"Dan sekarang terbukti janji beliau ditunaikan apabila Ramon Marcote sudah dilantik sebagai jurulatih… penaja perlukan sebuah pasukan dan pengurusan yang baik supaya penajaan dibelanjakan sebaiknya dan sekiranya Menteri Besar berhasrat melepaskan jawatan Presiden KFA, kami akan membuat pertimbangan semula untuk meneruskan dana pada KFA, " katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Sehubungan itu,  beliau mahu Ahmad Bashah terus dikekalkan sebagai presiden KFA jika mahu melihat syarikatnya terus menaja pasukan dan melihat kejayaan demi kejayaan dicapai oleh pasukan Kedah.

"Apabila timbulnya isu sorakan negatif semasa perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 mahupun desakan supaya Ahmd Bashah melepaskan jawatan selaku presiden KFA, saya amat terguris dan kecewa.

"Ini kerana beliau telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang dari segi pengurusan, dan kebajikan pemain sentiasa diambil berat… malah beliau juga telah berusaha mencari penaja bagi memastikan kewangan pasukan tidak terganggu… inilah seorang pemimpin yang diperlukan dalam menerajui persatuan bola sepak supaya semangat pengurusan dan pemain berada pada tahap tertinggi, " kata Ginney.

Selain itu,  katanya Ahmad Bashah juga melihat ke hadapan dengan mewujud dan melaksanakan Akademi Dato Ahmad Basri (ADAB)  bagi menyediakan barisan pelapis untuk pasukan negeri dan kebangsaan di masa hadapan.

"Jangan kita lupa bahawa beliau juga mempunyai perancangan yang jelas dalam membangunkan bola sepak Kedah dengan mewujudkan barisan pelapis serta melaksanakan Akademi Dato Ahmad Basri (ADAB), yang mencungkil dan mengilap bakat dalam kalangan anak muda,” katanya. - BERNAMA

Ginney Chew, Kedah

Artikel Sebelum

Kaka Gantung But

Artikel Berikut

Artikel Lain