suria

KLFA Tunggu ‘Lampu Hijau’

Stadium Kuala Lumpur, Cheras

PUTRAJAYA: Pasukan Kuala Lumpur hampir pasti menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (Stadium KL) di Cheras sebagai venue rasmi pasukan itu untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata pihak kontraktor yang dilantik telah memperbaiki dua teguran terdahulu daripada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sebelum badan induk bola sepak negara itu membuat pemeriksaan terakhir pada Jumaat.

Dua teguran tersebut ialah padang rumput yang tidak rata dan lampu limpah yang silau serta tidak mesra pemain, katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani kontrak bersama 24 pemain untuk musim depan di Kementerian Wilayah Persekutuan di sini, Khamis.

“Kita masih ada lagi masa lebih sebulan setengah untuk memperbaiki mengikut standard yang dituntut oleh FAM jika masih ada masalah-masalah kecil. Buat masa ini, Stadium Majlis Perbandaran Selayang menjadi pilihan alternatif,” katanya.

Sementara itu, Adnan yang juga merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, berkata skuad ‘The City Boys' itu masih dalam proses melengkapkan pemain import kelima iaitu kuota Asean dengan mengadakan perbincangan dengan seorang pemain pertahanan dari Indonesia.

Pasukan Kuala Lumpur, yang kembali semula ke Liga Super selepas lima tahun, telah mengikat bekas perancang tengah Selangor dan Sarawak, Junior Aparecido selain mengekalkan tiga pemain import sedia ada, iaitu pemain pertahanan Boburjon Akbarov (Uzbekistan), pemain tengah Paulo Josue dan penyerang Guilherme de Paula (kedua-duanya dari Brazil).

Untuk memantapkan skuad, juara Piala Malaysia tiga kali berturut-turut bermula 1987 itu, turut membawa masuk Mohd Firdaus Mohd Faudzi dari Terengganu, Indra Putra Mahayuddin (Kelantan), Zaquan Adha Radzak (Perak) dan Mohd Saifulnizam Miswan (Pahang).

Kuala Lumpur layak beraksi di Liga Super 2018, selepas muncul juara  Liga Perdana 2017 berdasarkan perbezaan jaringan, walaupun terikat 47 mata dengan Terengganu.- Bernama

KLFA, Stadium Cheras

Artikel Sebelum

Hafizh Syahrin Sah Bergelar Suami

Artikel Berikut

Iniesta Mahu Mascherano Kekal

Artikel Lain