suria

Mourinho Berang, Tinggalkan Sidang Media

PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho meninggalkan sidang media pada Selasa secara tiba-tiba dengan mendakwa media tidak menghormati Bournemouth dan pengurus pasukan itu.

Pada sidang media itu, Mourinho ditanya pelbagai soalan mengenai insiden pergaduhan antara pemain United dan juga Manchester City di Old Trafford, Ahad lalu.

Pergaduhan dipercayai bermula apabila Mourinho pergi ke bilik persalinan City dan meminta pemain pasukan pelawat itu supaya jangan terlalu buat bising ketika meraikan kemenangan mereka.

Mourinho enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu pada sidang media pra perlawanan sebelum United bertemu Bournemouth, malam Rabu.

Seorang wartawan bertanya kepada Mourinho sama ada dia menjangkakan FA akan mengambil tindakan terhadap pemain United.


Bagaimanapun pengendali dari Portugal itu berang dengan soalan wartawan tersebut.

"Mengapa? Saya fikir anda bekerja untuk kelab lain dan bukan untuk media," kata Mourinho.

Mourinho terus diajukan pelbagai soalan mengenai insiden itu sehingga memaksanya meninggalkan sidang media itu secara mengejut.

Sebelum meninggalkan sidang media itu, Mourinho mendakwa media tidak menghormati pengurus Bournemouth Eddie Howe dan juga pemain pasukan itu.

"Anda tidak suka Bournemouth? Anda tidak hormat mereka.

"Anda tidak fikir mereka pasukan berkebolehan dan boleh beraksi cemerlang di Old Trafford. Tiada hormat kepada Eddie Howe. Tiada hormat kepada pemain mereka," kata Mourinho.

Manchester United, Jose Mourinho

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain