suria

Kafa Intai Pemain Import Brazil

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan menguji dua pemain import dari Brazil, dalam usaha untuk memantapkan pasukan Kelantan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Setiausaha Agung Kafa Hussin Deraman berkata dua pemain import berkenaan yang kini sudah berada di sini, ialah pemain pertahanan Cassio Francisco De Jessus, 28, dan penyerang Thiago Furtuoso Dos Santos, 30.

“Kedua-dua pemain itu sebelum ini beraksi dalam  Liga Indonesia, mewakili kelab Simen Padang (Cassio Francisco)  dan Madura United (Thiago Furtuoso),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Hussin berkata kedua-dua pemain itu akan dinilai  oleh panel kejurulatihan Kafa bagi menentukan sama ada mereka layak atau sebaliknya menyarung jersi The Red Warriors (TRW).

Selain dua pemain itu, beliau berkata seorang lagi pemain import dari Brazil juga berminat diuji bersama pasukan Kelantan tidak lama lagi.

"Setakat ini, hanya Magaro Gomis (Perancis) dan Do Dong-Hyun (Korea Selatan), pemain import yang sudah mengikat kontrak bersama KAFA bagi memperkuatkan pasukan musim depan,” katanya.

Beliau berkata dua pemain import musim lepas, Seydi Imam (Senegal) dan Abou Bark Al-Mel (Lubnan) yang masih mempunyai baki kontrak bersama TRW, akan dinilai semula dan mereka perlu membuktikan kemampuan sekiranya mahu kekal bersama pasukan berkenaan, musim depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain