suria

Syafiq Ahmad Dedah Impian Mengejutkan

DI sebalik gelaran sebagai penyerang prolifik kebangsaan dan Kedah, Muhammad Syafiq Ahmad menyembunyikan bakat lain dalam dirinya.

Penyerang kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang berusia 22 tahun itu rupanya menyimpan hasrat untuk bergelar seorang pelakon satu hari nanti.

Menurut Syafiq, dia bukan bergurau apabila memberitahu ingin menjadi seorang pelakon jika diberi peluang selepas ini. Malah bersedia untuk menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya sambilan selain pemain bola sepak terkenal.

"Saya bercita-cita untuk jadi pelakon selepas ini. Tapi sekarang jadi pemain bola sepak dulu. Pelakon yang paling saya minati ialah Shah Rukh Khan sebab dia boleh melakonkan pelbagai karektor.


"Dan jika diberi peluang saya tak kisah berlakon watak apa. Watak baik, jahat, nakal atau apa-apa, saya akan cuba akan cuba yang terbaik," ujarnya yang mula bermain bola sepak sejak di bangku sekolah rendah.

Bagaimanapun Syafiq yang gemar bermain PlayStation ketika waktu lapangnya mengakui cita-citanya itu terpaksa diketepikan dahulu memandangkan dia perlu menjalankan tanggungjawab terhadap negara dan skuad negerinya, Kedah.

"Buat masa sekarang jadual perlawanan agak padat dengan beberapa misi penting negara. Mungkin ia akan berlaku selepas ini.

"Beberapa kejohanan besar sedang dan akan berlangsung termasuk Piala AFC 2018 nanti. Saya diberi kepercayaan dalam skuad Bawah 22 Tahun kebangsaan dan pastinya akan melakukan yang terbaik," katanya.

Mengimbas kembali kerjayanya sebagai pemain bola sepak, Syafiq mula mewakili negara seawal usia 12 tahun dengan menyertai Piala Danone di Perancis pada tahun  2007.

Bakatnya sebagai penyerang semakin menyerlah dan terus membawa nama Malaysia ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (SMK Tatar) sehingga terpilih menyertai Piala Manchester United Bawah 14 Tahun di Carrington pada 2010.

Malah dia juga merupakan penjaring terbanyak selama dua tahun berturut-turut untuk SMK Tatar dalam saingan Liga KPM-FAM pada tahun 2011-12.

Terbaharu pada Julai lalu, Syafiq antara salah seorang pemain negara yang menjaringkan gol ketika aksi Kelayakan Piala AFC di Bangkok, Thailand menentang Myanmar dan Indonesia.

Malah kini, pemain di bawah skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu juga antara penyerang harapan negara dalam misi meraih pingat emas dalam Sukan SEA (KL2017) yang bermula pada Isnin bagi acara bola sepak.


Mengenai perlawanan pertamanya bertemu Brunei yang menyaksikan Malaysia menang 2-1, Syafiq mengakui ia 'panas'.

"Saya tak puas hati walaupun menang. Ini kerana saya yakin kami boleh melakukan yang lebih baik daripada aksi itu," ujarnya ringkas.

Selain menjadi penyerang penting skuad kebangsaan, Syafiq juga antara 'ayam tambatan' skuad Lang Merah sejak tahun 2015.

Dalam tempoh itu dia telah menjaringkan lebih kurang 10 gol.

Syafiq Ahmad

Artikel Lain