suria

Liga Super: JDT Lebar Jurang Sebelas Mata

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah T-Team 6-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk terus kekal di persada liga dengan kelebihan sebelas mata ke atas pencabar terdekat, Kedah.

Skuad Harimau Selatan itu membuka jaringan menerusi pemain import dari Argentina, Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-22, sebelum pemain import dari Lubnan, Mohammed Ghaddar menggandakan jaringan pada minit ke-40, diikuti jaringan S. Kunanlan tiga minit kemudian.

Bersambung pada babak kedua, Gabriel menambah keperitan skuad ‘The Titans’ menerusi jaringan pada minit ke-58, sebelum Mohamad Fadhli Shas (minit ke-77) dan Gonzalo Gabriel Cabrera (minit ke-81) melengkapkan jaringan 6-0 untuk berada di puncak dengan 42 mata daripada 17 perlawanan.

Pemain import dari Cameroon, Joseph Yannick Ndjeng melengkapkan sepakan penalti pada minit ke-83 untuk mendapatkan gol sagu hati buat T-Team.

Kedah kekal di tempat kedua dengan 31 mata selepas menewaskan pasukan tercorot carta, Pulau Pinang 2-0 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

Pemain import dari Denmark, Ken Ilso Larsen meletakkan skuad Lang Merah di hadapan pada minit ke-61, sebelum Baddrol Bakhtiar menggandakan jaringan pada minit ke-73.

Sementara itu, Pahang yang dikejutkan dengan hukuman penggantungan 18 perlawanan dan didenda RM30,000 ke atas Ketua Jurulatihnya, Dollah Salleh, turut mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Melaka United di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Skuad Tok Gajah bermula garang apabila menjaringkan gol seawal minit keempat menerusi pemain import dari Argentina, Yamil Jorge Gonzalo Romero dan jaringan  pemain import dari Gambia, Mohamadou Sumareh pada minit ke-52.

Felda United FC pula  tewas  0-1 kepada Perak di Stadium Shah Alam.

Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan oleh pemain import dari Palestin, Yashir Pinto pada minit ke-11 menerusi sepakan penalti selepas pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajuddin membuat keputusan itu apabila bola terkena tangan Muhammad Shukor Adan.

Sementara itu, jaringan tunggal penyerang kebangsaan, Mohd Amri Yahyah pada minit ke-20 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang membantu Selangor mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan.

Sarawak pula gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri apabila kalah tipis 0-1 kepada PKNS FC di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching hasil jaringan Mohd Nizam Abu Bakar pada minit ke-69.-Bernama

Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain