suria

Iskandar Perlu Sedia Galas Cabaran Piala Sudirman

Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

KUALA LUMPUR: Setelah berehat panjang ekoran kecederaan, pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin perlu bersedia dari segi mental dan fizikal seandainya diturunkan beraksi pada Kejohanan Berpasukan Campuran Piala Sudirman di Gold Coast, Australia, Mei depan.

Iskandar, yang sebelum ini, dijadual membuat penampilan pertamanya di Terbuka Thailand pada 30 Mei hingga 4 Jun, perlu lebih serius melakukan persiapan setelah disenaraikan dalam skuad Piala Sudirman dari 21 hingga 28 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata penyenaraian Iskandar dalam pasukan Piala Sudirman kali ini, amat penting kerana beliau antara pilihan terbaik dan berkemampuan menggalas tanggungjawab tersebut bersama-sama pemain pilihan utama, Datuk Lee Chong Wei.

Beliau berkata kecederaan tulang belakang yang dialami Iskandar semakin pulih dan pemain itu juga telah menjalani latihan di gelanggang bersama-sama pemain lain.

"Tarikh Terbuka Thailand dan Piala Sudirman tidak jauh, kalau Iskandar boleh menyiapkan diri untuk Terbuka Thailand, kenapa tidak untuk Piala Sudirman. Kita mahu menghantar pasukan yang kuat untuk Piala Sudirman kali ini.

"Kita boleh senaraikan 20 pemain untuk Piala Sudirman tetapi 17 pemain yang kami umumkan hari ini adalah barisan pemain terbaik," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini Jumaat.

Selain Iskandar, pemain yang tersenarai adalah Chong Wei selaku pemain perseorangan lelaki utama negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi/Ong Yew Sin (beregu lelaki), Chan Peng Soon/Cheah Yee See dan Tan Kia Meng/Lai Pei Jing (beregu campuran), Goh Jin Wei dan Sonia Cheah (perseorangan wanita), Vivian Hoo/Woon Khe Wei dan Chow Mei Kuan/ Lee Meng Yean (beregu wanita).

Saingan di Gold Coast menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Jepun dan Jerman.Sementara itu, Mohamad Norza memberi amaran kepada V Shem/Wee Kiong agar segera memperbaiki prestasi mereka yang semakin merosot sebelum beraksi di Gold Coast.

Walaupun prestasi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio de Janeiro itu tidak memberangsangkan, BAM masih memberi peluang kepada pasangan beregu itu untuk mencari penyelesaian terbaik sebelum ke Piala Sudirman nanti.

"Semalam (Khamis) saya ada hubungi Jeremy Gan (jurulatih beregu lelaki), saya akan berbincang dengan mereka bertiga untuk mengetahui apa yang berlaku (berhubung kemerosotan prestasi mereka).

"Kita mahu pastikan pemain yang dipilih untuk Piala Sudirman tidak bermasalah. Kita berharap isu prestasi mereka dapat diselesaikan sebelum 17 Mei. Setakat ini nama mereka masih tersenarai," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen menjelaskan pemilihan Yee See untuk bergandingan dengan Peng Soon adalah keputusan yang wajar dan tepat pada masa ini.

Beliau berkata pemilihan itu dibuat hasil keserasian yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemain berkenaan ketika sesi latihan walaupun Peng Soon/Yee See tidak pernah diuji dalam sebarang kejohanan sebelum ini.

Yee See mengambil alih tempat Goh Liu Ying kerana pasangan utama Peng Soon itu perlu memberi fokus terhadap pemulihan kecederaan bahu selain kecederaan lama di bahagian lutut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain