suria

Kelonggaran Jentera Tengah, Pertahanan Jejaskan Impian Felda United

Kapten Felda United, Muhammad Shukor Adan (kanan) cuba mengawal bola sambil diasak pemain Kedah, Sandro Da Silva pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak malam Sabtu. fotoBERNAMA

MARAN: Kelonggaran jentera tengah dan pertahanan mengawal permainan terutama pada babak pertama menyebabkan Felda United gagal mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri ketika menentang juara Piala Malaysia, Kedah malam Sabtu.

Pengendali The Fighters, Azmi Mohamed berkata kelemahan itu perlu diperbaiki segera bagi memastikan skuad bimbingannya mampu mencatat kemenangan pada perlawanan seterusnya.

"Pada separuh masa pertama, kita melakukan kesilapan apabila memberi banyak ruang kepada lawan di bahagian tengah dan pertahanan sehingga membolehkan mereka mendahului.

"Tetapi pada babak kedua, kita kembali menguasai bahagian tengah sehingga mampu melakukan serangan dari kiri dan kanan sebelum akhirnya menghasilkan gol penyamaan," katanya selepas perlawanan itu.

Ken Ilso Larsen meletakkan pelawat di hadapan menerusi gol pembukaan pada minit ke-23 sebelum Muhammad Hadin Azman menyamakan kedudukan untuk skuad 'The Fighters' pada minit ke-57.

Pada masa sama, Azmi berkata gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan pemain import, Gaston Andres Javier Cellerino di bahagian serangan perlu dimantapkan lagi bagi memastikan gerakan mereka lancar dan membuahkan hasil.

"Kita harap keserasian kedua-dua pemain ini akan cepat dibentuk, Gaston merupakan penyerang yang melakukan penyudah dalam kotak penalti dan ini memerlukan hantaran pemain lain.

"Bagi aksi seterusnya bertemu Kelantan, saya akan membuat sedikit pertukaran selain memerlukan pemain yang bersedia dari segi mental dan fizikal kerana jadual perlawanan Felda United agak padat selepas ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata beliau agak kecewa dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka itu kerana mengagalkan impian skuad Lang Merah memperoleh tiga mata berharga.

"Satu keputusan yang agak mengecewakan sebab kita bermain dengan baik dan hampir menang, tetapi kita tahu Felda United adalah satu pasukan yang kuat serta bermutu.

"Sepanjang permainan, pemain beraksi dengan tempo agak tinggi dan sedikit kelekaan di benteng pertahanan menyebabkan gawang kita bolos," katanya. - BERNAMA

Felda United, Liga Super

Artikel Berikut

Artikel Lain