suria

Iskandar Mampu Jadi Pemain Teratas Dunia - Choon Hann

Iskandar Zulkarnain Zainuddin

PETALING JAYA:  Bekas pemain badminton negara, Wong Choon Hann percaya Iskandar Zulkarnain Zainuddin mampu menempatkan dirinya dalam 10 pemain teratas di dalam Ranking Dunia BWF tahun depan jika pemain kedua perseorangan negara itu mempamerkan aksi konsisten dalam setiap kejohanan yang disertainya.

Beliau berkata Iskandar yang kini menduduki ranking ke-23 dunia, mempunyai apa yang diperlukan untuk bersaing di peringkat antarabangsa tetapi aksinya yang tidak konsisten serta kekurangan kekuatan mental mengakibatkan pemain kelahiran Johor ini kecundang dalam kejohanan Siri Super. 

"Dia sepatutnya berada di 10 teratas sekarang jika sentiasa konsisten dalam akasinya sekurang-kurangnya layak ke suku akhir atau separuh akhir dalam setiap kejohanan yang disertainya.

Ramai yang melihat mencapai 10 teratas adalah mustahil tetapi saya percaya Iskandar mampu mencapainya jika dia mempunyai seluruh keyakinan terhadap dirinya sendiri," kata Choong Hann yang merupakan salah seorang jurulatih untuk Program Olimpik Asia (AOP).

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menyaksikan penyerahan kelengkapan badminton kepada pemain dalam program itu daripada Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, Kenny Goh pada Khamis.

Choong Hann yang mencapai kegemilangan selaku pemain antara penghujung 1990-an sehingga pertengahan 2000, menekankan Iskandar boleh mencapai kegemilangan seperti beliau jika pemain muda negara itu berusaha lebih keras diluar gelanggang tanpa terlalu bergantung kepada jurulatih kebangsaan.

"Dia bagus dan rajin di dalam dan luar gelanggang tetapi saya percaya dia perlu lebih bimbingan untuk menjadi pemain yang lebih baik  bagaimanapun, tahun hadapan merupakan satu tahun yang penting buat Iskandar untuk menetapkan sasarannya sendiri dalam kejohanan yang disertai, kata Choong Hann.   

Iskandar yang dikatakan sebagai pengganti terbaik kepada jaguh badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei mempamerkan permainan yang memberangsangkan sejak kebelakangan ini termasuk layak ke separuh akhir kejohanan Siri Super Terbuka China, dua minggu lepas.  -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain