suria

Bekas Pemain Sheffield Wednesday Diumum Ketua Jurulatih P.Pinang

Ashley Westwood. Foto Lim Beng Tatt

GEORGE TOWN: Bekas pemain pertahanan Sheffield Wednesday, Ashley Westwood pada Isnin diumum sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bola sepak Pulau Pinang bagi tempoh dua tahun, bermula musim depan.

Pengurus pasukan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berharap Westwood yang juga bekas jurulatih Bengaluru FC, dapat membawa pasukan itu ke tahap lebih baik berbanding prestasi musim ini yang agak merudum, selain dilanda pelbagai kontroversi.

"Westwood seorang jurulatih yang dikenali kerana berjaya membawa pasukan bimbingannya, Bengaluru FC ke tahap yang tinggi termasuk memenangi I-League, Piala Federasi dan mara ke suku akhir Piala AFC dua tahun berturut-turut," katanya pada sidang akhbar di sini.

Westwood yang juga bekas pelatih di Akademi Bola Sepak Manchester United, juga mempunyai rekod yang baik kerana pernah menjadi penolong jurulatih pasukan Blackburn Rovers.

Difahamkan selain Pulau Pinang, Westwood juga menerima beberapa tawaran sebagai ketua jurulatih beberapa kelab di Asia Tenggara, termasuk di China, Hong Kong dan Eropah, namun beliau memilih Pulau Pinang.

Pulau Pinang kini mempunyai 16 pemain dan kuota untuk tiga pemain import yang dikosongkan Ranti Martins, Jeong Seok Min dan Mathias Cordoba masih belum diisi kerana FAP masih mempertimbangkan beberapa pilihan. 

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Nazir Ariff Munshi Ariff meminta penyokong Pulau Pinang agar dapat memberi sokongan kepada kepimpinan baharu FAP.

"Saya tahu banyak berita tersebar di laman sosial berhubung pelantikan Zairil sebagai pengurus baharu pasukan.

"Saya berharap peminat dapat beri Zairil dan Westwood peluang untuk membuktikan keupayaan mereka," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Keputusan La Liga

Artikel Berikut

Artikel Lain