suria

Piala AFF: Kim Swee Sedia Tanggung Risiko Gagal Ke Separuh Akhir

YANGON: Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee sedia bertanggungjawab di atas kegagalan skuad itu melayakkan diri ke separuh akhir Piala AFF Suzuki.

Tanpa mahu menyalahkan mana-mana pihak, Kim Swee menjelaskan kekalahan itu sukar diterima memandangkan beliau meletakkan sasaran awal kepada skuad kendaliannya untuk mengulangi pencapaian mara ke final sebagaimana dicapai pada2014.

Malaysia gagal ke separuh akhir setelah kalah 0-1 kepada tuan rumah bersama, Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Thuwunna, Sabtu malam sekali gus menamatkan aksi peringkat awal di tangga ketiga di belakang Vietnam dan Myanmar.

"Apabila kita menyertai kejohanan ini, saya sudah katakan kepada para pemain untuk membuat kejutan walaupun sedar ia sukar...apa yang saya boleh harapkan daripada pemain kerana mereka sudah beri setakat yang termampu," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Ditanya masa depannya selaku pengendali kebangsaan, Kim Swee menyerahkan nasibnya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memandangkan kontraknya selama dua tahun bersama badan induk itu akan berakhir pada penghujung Disember 2017.

Dalam pada itu, Kim Swee mempersoalkan tindakan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) yang menggunakan khidmat pengadil dari Oman, Abdul Baqi Yaqoob Said Abdullah untuk mengadili perlawanan malam ini walaupun pernah membuat beberapa keputusan kontroversi sewaktu Malaysia menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi pembukaaan kejohanan, 20 November lepas.

"Saya tidak faham kenapa pengadil yang sama mengadili perlawanan malam ini dan beberapa insiden sama yang berlaku pada 20 November lepas hampir berlaku pada hari ini...saya bukan memberi alasan (di atas kekalahan ini) tetapi ia merupakan satu persoalan (yang harus dijawab)," katanya.

Nada yang sama turut disuarakan penyerang veteran negara, Mohd Safee Mohd Sali yang kecewa kerana gagal membantu skuad kebangsaan melayakkan diri ke separuh akhir walaupun rakan sepasukan sudah memberikan persembahan bertenaga pada aksi malam ini.

"Memang kecewalah sebab kita gagal ke separuh akhir namun saya berbangga dengan komitmen rakan sepasukan pada hari ini," katanya yang pernah dinobatkan sebagai pemenang anugerah Kasut Emas (penjaring terbanyak) pada edisi 2010ketika membantu Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki buat julung kalinya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Myanmar, Gerd Zeise melahirkan kegembiraan dengan kemenangan malam ini yang mengakhiri penantian 12 tahun pasukannya untuk mara ke separuh akhir kejohanan dwitahun itu sejak 2004.

"Saya gembira dengan kejayaan ini terutama kepada negara dan penyokongnya yang memberikan sokongan hebat kepada pasukan ini di peringkat kumpulan dan ianya bagus untuk menyaksikan pasukan ini mara ke separuh akhir," katanya.

Jurulatih kelahiran Jerman itu juga meletakkan harapan yang tinggi pada pemain mudanya untuk mempamerkan permainan hebat menentang juara bertahan, Thailand apabila kedua pasukan bertemu di separuh akhir yang menggunakan format timbal balik pada 4 dan 8 Disember ini.  

Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan juara kumpulan A, Vietnam danIndonesia yang menggunakan format timbal balik pada 3 dan 7 Disember ini. -Bernama

Dauk Ong Kim Swee

Artikel Sebelum

Keputusan La Liga Sepanyol

Artikel Berikut

Artikel Lain