suria

Piala AFF: FAM Sambut Baik Keputusan Kabinet

Hamidin Mohd Amin

YANGON: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyambut baik keputusan Kabinet membenarkan skuad Harimau Malaysia meneruskan aksi pada Piala AFF Suzuki yang sedang berlangsung di sini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata keputusan itu menaikkan semangat pemain negara dalam memburu kemenangan ke atas Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan B bagi menempah slot ke separuh akhir edisi ke-11 kejohanan bola sepak dwitahunan itu.

"Bagi pihak FAM, saya mengucapkan terima kasih kepada Kabinet yang memutuskan skuad Harimau Malaysia untuk terus bermain pada kejohanan kali ini dan ini memberi inspirasi kepada pasukan untuk buktikan kita mampu kalahkan Myanmar, malam esok (Sabtu)," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Jumaat.

Kabinet pada Jumaat memutuskan skuad Harimau Malaysia perlu meneruskan saingan dalam kejohanan berkenaan yang sedang berlangsung di sini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dipetik sebagai berkata, kerajaan akan mencari kaedah lain untuk menentang kezaliman yang berlaku terhadap etnik Rohingya di Myanmar, dan tidak akan melibatkan sebarang acara sukan.

Dalam perkembangan sama, Hamidin yang juga pengurus skuad kebangsaan berkata, Persekutuan Bola Sepak Myanmar (MFF) memberi jaminan mengenai tahap keselamatan pemain dan pegawai skuad negara selain penyokong Malaysia yang akan hadir menyaksikan perlawanan esok.

Beliau berkata jaminan tersebut dinyatakan sendiri Timbalan Setiausaha Agung (Pentadbiran) MFF, U Ko Ko Thein, ketika beliau mengadakan mesyuarat bersama MFF serta pihak keselamatan Myanmar pada Jumaat.

"Kawalan keselamatan pada perlawanan malam esok (Sabtu) akan diperketatkan, di dalam dan luar stadium. Presiden MFF U Zaw Zaw turut memberi jaminan yang sama mengenai soal keselamatan kepada kita," katanya.

Dalam pada itu, Hamidin memuji pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk OngKim Swee yang berjaya mengubah posisi Malaysia dalam ranking dunia FIFA, daripada tempat ke-164 pada bulan lepas kepada 156, bulan ini.

"Inilah ranking terbaik skuad kebangsaan semenjak Kim Swee mengendalikan pasukan sejak tahun lepas dan saya harap kedudukan ranking kita terus bertambah baik.

"Kalau kita berjaya pada Piala AFF Suzuki kali ini, kita akan dapat lebih peningkatan kerana semua kita tahu KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang FAM letakkan kepada Kim Swee adalah posisi ke-140, dan kita sudah menghampiri kedudukan tersebut," kata Hamidin. -Bernama

FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain