suria

AFF: Harimau Malaysia Masih Positif Ke Separuh Akhir

Kim Swee (tengah) memberi kata semangat kepada pemain ketika berhenti rehat seketika untuk minum air (water break) apabila bermain di bawah cuaca panas terik pada aksi kedua kumpulan B Kejohanan Piala AFF Suzuki 2016 menentang Vietnam di Stadium Thuwunna pada Rabu. fotoBERNAMA

YANGON: Skuad Harimau Malaysia masih optimis mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki walaupun perlu berdepan tuan rumah bersama, Myanmar dalam aksi hidup-mati di Stadium Thuwunna, di sini Sabtu ini.

Pertahanan tengah negara, Muhammad Shahrom Abdul Kalam menjelaskan rakan sepasukannya masih belum mahu mengibar bendera putih biarpun sedar laluan berliku menanti mereka pada aksi terakhir Kumpulan B.

"Saya masih positif dengan peluang pasukan kita melangkah ke separuh akhir walaupun kalah kepada Vietnam pada Rabu.

"Kami juga perlu sesuaikan diri dengan cepat untuk menyerap tekanan daripada ribuan penyokong Myanmar nanti," katanya ketika ditemui pemberita di sini,  Khamis.

Berkongsi pandangan sama adalah penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri yang melaungkan keyakinan untuk menewaskan Myanmar yang bakal mendapat sokongan padu ribuan penyokong mereka nanti.

"Kekuatan Myanmar adalah pemain muda yang bergerak pantas, namun mungkin ada beberapa kelemahan mereka yang kita boleh atasi...Kita juga pernah berdepan penyokong Myanmar yang ramai, jadi tiada masalah bagi kami," kata penyerang Selangor itu.

Sementara itu, skuad Harimau Malaysia diingatkan supaya tidak ghairah memburu gol awal apabila menentang Myanmar Sabtu ini.

Sebaliknya, ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee menuntut pemainnya supaya tenang menghadapi perlawanan tersebut walaupun sedar perlu menang untuk mara ke separuh akhir.

"Kita tidak boleh terburu-buru dan sudah tentu pemain faham kita perlukan gol dan pada masa sama tidak dibolosi untuk layak ke separuh akhir.

"Pemain harus mengikut percaturan taktikal dan apa yang ditunjukkan (ketika tewas 0-1 kepada Vietnam) semalam cukup baik sebelum kita dibolosi pada minit-minit akhir perlawanan," katanya.

Kim Swee berkata beraksi pada sebelah malam buat pertama kali setelah terpaksa bermain dua perlawanan pada waktu petang dengan cuaca panas sebelum ini, mampu memberi perangsang kepada pemain negara untuk memburu keputusan positif.

Beliau turut memaklumkan pemain pertahanan tengah, Ronny Harun dan pemain sayap kiri Mohd Syazwan Zainon, yang masing-masing cedera di pangkal paha dan bengkak kaki, telah dirujuk kepada doktor pasukan untuk mengetahui sama ada dapat diturunkan Sabtu ini.

Mengulas tekanan beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong Myanmar, Kim Swee berkata pemain kebangsaan sudah biasa menghadapi situasi itu dan yakin mereka mampu memberi saingan sengit kepada tuan rumah.

Malaysia perlu menewaskan Myanmar untuk mara ke separuh akhir setelah tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi kedua Kumpulan B di gelanggang yang sama, Rabu.

Kemenangan yang diraih Vietnam menyaksikan mereka mengiringi juara Kumpulan A, Thailand yang mengesahkan tiket ke separuh akhir setelah merekodkan kemenangan kedua dengan mengatasi Singapura 1-0 di Filipina pada Selasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

FAM Putus Tak Tarik Diri

Artikel Berikut

Artikel Lain