suria

Jurgen Klinsmann Dipecat Sebagai Ketua Jurulatih Pasukan AS

Jurgen Klinsmann
JURGEN Klinsmann pada Isnin diumum telah dipecat sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS).

Jurulatih dari Jerman itu berada di bawah kontrak sehingga 2018 tetapi masa depannya bersama pasukan itu diragui selepas dua kekalahan baru-baru ini, meletakkan pasukan AS dalam kedudukan bahaya untuk layak ke saingan akhir Piala Dunia 2018.


"Hari ini kita membuat keputusan yang sukar untuk berpisah dengan ketua jurulatih pasukan kebangsaan lelaki Jurgen Klinsmann dan juga pengarah teknikal," kata Presiden Bola Sepak AS Sunil Gulati dalam satu kenyataan.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Jurgen untuk kerja-kerja keras dan komitmennya sepanjang lima tahun yang lalu.

"Dia boleh berbangga dengan tanggungjawab mengemudi program ini dan terdapat pencapaian yang besar sepanjang bersama kami."

Bekas jurulatih kebangsaan Jerman dan penyerang yang memenangi Piala Dunia berusia 52 tahun ini telah mengendalikan pasukan AS sejak 2011 apabila beliau menggantikan Bob Bradley dan dipertanggungjawabkan melakukan perubahan.

Klinsmann sering dikritik tentang kelemahan taktikal manakala beberapa laporan mencadangkan pemain gagal untuk mengikut sistemnya sepenuhnya.

Amerika Syarikat masih boleh melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Rusia, tetapi dengan kekalahan 4-0 kepada Costa Rica, dan kekalahan 2-1 kepada Mexico, menyebabkan mereka kini berada di kedudukan paling corot kelayakan CONCACAF Piala Dunia.

Penggantian Klinsmann diharapkan mempunyai banyak masa untuk program diteliti semula dan juga untuk menilai pemain. 

Pasukan AS akan bermain dalam kelayakan Piala Dunia pada 17 Mac ini menentang Honduras.

"Dengan perlawanan kelayakan seterusnya pada akhir Mac, kami mempunyai beberapa bulan untuk memberi tumpuan semula terhadap kumpulan dan menentukan jalan terbaik untuk memastikan kami berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia kelapan berturut-turut."

Artikel Berikut

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain