suria

Nepal Juara Edisi Sulung Piala Solidariti AFC

Pemain Nepal menjulang piala kejuaraan selepas perlawanan akhir Piala AFC Solidarity Cup Malaysia 2016 di Stadium Sarawak pada Selasa. fotoBERNAMA

KUCHING: Nepal muncul sebagai pemenang sulung  kejohanan bola sepak Piala Solidariti AFC selepas mengalahkan Macau 1-0 pada perlawanan final di Stadium Sarawak di Petra Jaya, di sini, malam Selasa.

Kejayaan itu mencipta sejarah buat Nepal yang pertama kali memenangi kejohanan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan kejuaraan ketiga tahun ini.

Sebelum ini, Nepal memenangi Piala Emas Bangabandhu di Bangladesh selepas mengalahkan pasukan bawah 23 tahun Bahrain 3-0 pada Januari lepas dan pada bulan berikutnya, memenangi temasya Sukan Asia Selatan (SAG) dengan mengalahkan tuan rumah, India 2-1 pada final.

Pada aksi final malam Selasa, Nepal turun dengan semangat tinggi apabila melakukan beberapa percubaan bahaya pada awal permainan namun cubaan barisan depan digagalkan dengan ketangkasan penjaga gol Macau, Ho Man Fai.

Bagaimanapun, dalam keadaan padang becak, Nepal mengambil kesempatan apabila Sujal Kumar Limbu menghadiahkan gol tunggal menerusi tandukan, hasil hantaran Anjan Bista, pada minit ke-29.

Pada babak kedua, Nepal menampilkan aksi agresif dengan memberi tekanan kepada benteng pertahanan Macau namun gagal membolosi gawang lawan dengan kecekapan Man Fai yang menafikan jaringan lawan.

Kejohanan itu adalah pengganti kepada kejuaraan Piala Cabaran AFC yang kali terakhir diadakan pada 2014.

Laos memang tempat ketiga selepas mengalahkan Brunei Darussalam 3-2 pada Isnin.

Sebanyak tujuh negara bersaing pada kejohanan sulung kali ini iaitu Nepal,  Macau, Laos, Brunei Darussalam, Mongolia, Kemboja dan Sri Lanka. - BERNAMA


Artikel Sebelum

Keputusan Piala FA

Artikel Lain