suria

Zii Jia, Beregu Campuran Negara Langkah Kanan

Lee Zii Jia.

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia mengiringi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Eei Wei melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Bilbao, Sepanyol, Jumaat.

Di suku akhir, Zii Jia yang juga pilihan kedua kejohanan tidak berdepan masalah menewaskan Toma Junior Popov dari Perancis dengan straight set 21-12, 21-18 dalam masa 33 minit.

Menanti beliau di separuh akhir adalah Chico Aura Dwi Wardoyo dari Indonesia yang mengalahkan Ryan Ng dari Singapura dengan 21-18, 21-14, demikian menurut laman web kejohanan www.bwf.tournamentsoftware.com.

Terdahulu, gandingan Chen-Toh turut mengesahkan tiket mereka ke separuh akhir selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengalahkan Satwiksairaj Rankireddy-Kuhoo Garg dari India 13-21, 21-12, 21-19.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan ke-16 bagaimanapun perlu menampilkan aksi lebih meyakinkan di separuh akhir esok kerana akan berdepan pilihan utama, He Jiting-Du Yue dari China.

Sementara itu, cabaran negara dalam acara beregu lelaki berakhir selepas Leong Jun Hao-Ooi Zi Heng terkandas di suku akhir apabila kalah mudah kepada pilihan utama Hang Chenkai-Zhou Haodong dari China 8-21, 10-21. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain