suria

Terima Kasih, Undi Anda Amat Bermakna - Nicol

RATU skuasy negara, Datuk Nicol Ann David amat berbesar hati kerana terpilih sebagai penerima trofi Bintang Sukan Wanita Pilihan Online dalam Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada Sabtu malam.

Atlet kelahiran Pulau Pinang itu turut menganggap setiap undian peminat amat bermakna buat dirinya.

"Terima kasih kerana memilih saya untuk memenangi anugerah ini. Setiap undian amat bermakna kerana ia datang dari anda semua," katanya ketika ditemui mStar Online pada kejohanan skuasy wanita dunia PSA di Pusat Skuasy Negara, Bukit Jalil, Sabtu.

Nicol tidak dapat hadir pada majlis tersebut kerana mempunyai komitmen lain yang perlu diberi keutamaan.

"Saya minta maaf kerana tidak dapat hadir kerana ada banyak komitmen dengan sukan ini di Malaysia. Harap majlis itu berlangsung dalam suasana meriah," katanya.

Nicol berjaya mengenepikan empat pencabarnya bagi kategori tersebut iaitu Ann Osman (tinju), Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik), Fatehah Mustapa (trek berbasikal) dan Pandelela Rinong (terjun).

Anugerah anjuran bersama mStar Online dan Suria FM itu bertemakan Glam Digital serta dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja utama.

Menariknya, proses pengiraan undi untuk lima finalis bagi setiap kategori dipertandingkan adalah berdasarkan 100 peratus undian peminat di laman web khas yang disediakan.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain