suria

KAFA Akan Bincang Dengan Dr Vida Selesai Isu Dalaman

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan berunding dengan penaja utama mereka iaitu Vida Beauty Sdn Bhd dalam masa terdekat bagi menyelesaikan beberapa perkara berbangkit yang menjadi isu sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor berkata pertemuan itu perlu bagi memperjelaskan beberapa isu dalaman terutama berkaitan kontrak yang dipersetujui kedua-dua belah pihak sebelum ini.

"Pertemuan berkenaan penting buat kami (KAFA) dan Datuk Seri Vida (pengasas Vida Beauty Datuk Seri Dr Hasmiza Othman) bagi menghentikan kedua-dua pihak berbalas kenyataan di laman media sosial.

"Kami tidak mahu media sosial digunakan sebagai gelanggang memperbesarkan sesuatu perkara yang kecil kerana ia akan memberi peluang kepada sesetengah pihak mengambil kesempatan bagi memburuk-burukkan lagi keadaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Kelab Penyokong Rasmi Kelantan dan Kelate Dot Net di pejabat KAFA di sini, Khamis.

Akhbar sebelum ini melaporkan KAFA dan Dr Hasmiza 'bertikam lidah' di laman sosial berhubung beberapa perkara berkaitan kontrak penajaan antara kedua belah pihak.

Mengulas lanjut, Ismail berkata pertemuan itu juga akan menjadi medium bagi merungkai beberapa masalah yang sering mengelirukan pelbagai pihak khususnya penyokong dan pemain.

"Dalam pertemuan itu, kita mahu mencari jalan agar dapat menghentikan semua spekulasi yang memburukkan pihak penaja dan KAFA, kami mahu selepas pertemuan itu tidak lagi timbul isu antara KAFA dan Datuk Seri Vida.

"KAFA sendiri sentiasa patuh dengan apa yang diputuskan dalam kontrak dan KAFA juga percaya Datuk Seri Vida tidak akan mengeluarkan kenyataan yang memberikan kesan negatif.

"Kami tidak mahu jadikan isu di luar padang yang boleh mengganggu moral dan prestasi pemain untuk terus bersaing bagi saingan musim ini," katanya.

Ditanya mengenai pertemuan bersama kelab penyokong Kelantan hari ini, Ismail berkata KAFA ingin memperjelas salah tanggapan dan salah faham di antara pihak KAFA dan Vida Beauty Sdn Bhd kepada penyokong pasukan tersebut.

"Penyokong perlu tahu tiada apa-apa isu besar, jika ada ia hanyalah isu kecil yang terkandung dalam konteks hubungan antara KAFA dan Datuk Seri Vida," katanya.

KAFA, Dr Vida, Datuk Ismail Md Noor

Artikel Berikut

Artikel Lain