suria

Khairy Harap Pembelian FC Bari Bawa Impak Kepada Bola Sepak Negara

PUTRAJAYA: Impak positif kepada pembangunan bola sepak negara melalui pembelian kelab Itali, FC Bari 1908, oleh hartawan dari Malaysia, Datuk Dr Noordin Ahmad, mungkin akan dirasai pada masa hadapan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan majlis pra pelancaran Hari Belia Negara 2016 di sini Selasa, Khairy berkata beliau percaya wujud kesan positif di sebalik pembelian itu namun perlu dilihat dalam jangka masa panjang.

"Saya rasa mungkin ia boleh menyumbang tetapi buat masa ini mungkin tidak nampak sangat apakah sumbangan pembelian tersebut kepada pembangunan bola sepak negara," katanya mengulas tanggapan bahawa pembelian kelab tersebut hanya bermotifkan keuntungan, dan tidak membantu dalam memajukan bola sepak negara.

Khairy berkata kelab yang dimiliki rakyat Malaysia itu selepas ini mungkin boleh menjalinkan kerjasama secara formal dengan kelab bola sepak tempatan dalam bentuk pembangunan jurulatih atau penghantaran pemain untuk berlatih di sana.

Noordin menjadi pemegang saham majoriti FC Bari 1908 selepas membeli 50 peratus saham dengan nilai 12 juta euro (RM52.59 juta) daripada Presiden FC Bari 1908, Gianluca Paparesta.

Menurut laporan media sebelum ini, Noordin sejurus memeterai perjanjian pembelian saham kelab itu menyatakan hasrat membantu pembangunan bola sepak negara dengan membina akademi bola sepak FC Bari 1908 di Malaysia, seterusnya memberi peluang kepada bakat muda tempatan menjadi pemain profesional.

Ditanya sama ada pembelian itu bakal memberi impak berbeza berbanding pembelian kelab England, Queens Park Rangers (QPR) dan Cardiff City oleh Tan Sri Tony Fernandes serta Tan Sri Vincent Tan sebelum ini, Khairy berkata pembelian dua kelab itu tetap ada sumbangannya kepada pembangunan bola sepak negara.

"Kita tak boleh kata pembelian kelab luar negara sebelum ini tidak memberi kesan kerana mereka juga menyumbang sesuatu, contohnya Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) mendapat penajaan yang besar daripada QPR," katanya. - BERNAMA

FC Bari, Khairy Jamaluddin

Artikel Berikut

Artikel Lain