suria

Doa Ketua Pasukan Kedah

KETUA pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari sedang berusaha mengatasi kecederaan tulang belakangnya untuk kembali membantu skuad Helang Merah yang akan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA di Larkin pada Sabtu ini.

Khairul Helmi mengalami kecederaan itu ketika perlawanan bertemu T-Team bagi saingan Liga Super di Kuala Terengganu, minggu lalu.

Berikutan itu, pemain pertahanan tengah berkenaan sedang gigih menjalani rawatan susulan untuk kembali pulih.

Dia turut terlepas perlawanan menetang JDT Sabtu lalu yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Darul Aman.

"Saya berdoa agar kesakitan pada tulang belakang ini sembuh secepat mungkin. Saya ingin kembali membantu rakan sepasukan yang kehilangan Liridon Krasniqi, Muhd Amirul Hisyam Awang Kechik dalam perlawanan Piala FA minggu ini.

"Saya tahu perlawanan ini penting dan sukar untuk ditempuhi kerana bermain di tempat lawan, sebab itu saya ingin membantu rakan-rakan lain.

"Tidak ada yang mustahil dalam  bola sepak, kesungguhan dan kemahuan untuk menang dapat membantu kami bagi menewaskan lawan dalam perlawanan ini," katanya kepada mStar Online.

Khairul Helmi turut yakin barisan pemain muda yang akan diturunkan mampu menggalas tugas dengan baik kerana mereka telah membuktikannya dalam perlawanan sebelum ini.

"Saya sudah lama bersama pasukan Kedah dan tahu kemampuan barisan pemain simpanan, saya yakin mereka tidak akan mengecewakan kita jika  diberi peluang oleh jurulatih.

"JDT pasti menjadi pasukan pilihan dalam perlawanan kali ini, tetapi kami juga akan berusaha dan memberikan yang terbaik," ujarnya.

Kedah, JDT, Larkin, Helang Merah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain