suria

Abang Terlajak Laris Umum Tajaan Esok?

PETALING JAYA: Pemilik D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman bakal membuat pengumuman penting di Stadium Darul Aman pada Sabtu malam - dipercayai membabitkan penajaan bernilai RM30 juta untuk pasukan Kedah.

Menurut usahawan muda yang terkenal dengan tagline 'Terlajak Laris' itu, beliau akan turut serta menyaksikan perlawanan Liga Super antara pasukan Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

"Saya juga akan membuat pengumuman penting ketika berada di sana," katanya kepada mStar Online di sini, Jumaat.

Aliff Syukri bagaimanapun masih 'mengunci mulut' ketika ditanya sama ada pengumuman penting yang dimaksudkannya adalah membabitkan isu penajaan terhadap pasukan Helang Merah itu.

"Tunggu esok. Semuanya akan terjawab esok di Stadium Darul Aman. Maaf, saya tak boleh nak beritahu apa-apa sekarang," katanya.

Ketika diasak dengan pertanyaan sama ada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sudah menyediakan slot khas untuknya membuat pengumuman berkenaan, Aliff bagaimanapun mengelak untuk mengulas mengenainya.

"Saya tak boleh cakap lebih daripada apa yang sudah saya sampaikan tadi. Jemput datang ke stadium malam esok untuk mengetahui lebih lanjut," katanya.

Sebelum ini Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar memberitahu bahawa pasukan Kedah bakal menerima tajaan sebanyak RM30 juta dalam tempoh tiga tahun daripada syarikat produk kecantikan D'Herbs jika perbincangan antara kedua-dua pihak berjalan lancar.

Aliff Syukri sendiri pernah mengadakan perbincangan rasmi dengan Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 1 April lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain