suria

Misi Penting Syazwan Zainon

Syazwan Zainon

SYAZWAN Zainon berazam untuk kembali membarisi kesebelasan utama ketika Kedah melayan kunjungan Sabah dalam saingan suku akhir Piala FA di Stadium Darul Aman Jumaat ini.

Berikutan itu, pemain berusia 27 tahun berkenaan sedang berusaha meningkatkan prestasinya sekaligus memikat hati Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Menurut Syazwan, berada dalam kesebelasan utama bukan tugas mudah kerana setiap pemain perlu bersaing dan mempamerkan prestasi terbaik mereka bagi mendapat kepercayaan barisan jurulatih.

Namun dia yakin dapat memberikan yang terbaik dalam perlawanan penting itu jika dipilih sebagai pemain yang akan membarisi kesebelasan utama nanti.

"Walaupun saya sudah bersama Kedah sejak 2013 lalu, tetapi saya perlu memantapkan diri daripada segala aspek dan memastikan diri pulih sepenuhnya daripada kecederaan memastikan dapat bersaingan dengan rakan lain.

"Semasa berada di Kedah juga saya dapat belajar pelbagai perkara baru dalam bola sepak, barisan jurulatih banyak membantu meningkatkan prestasi saya daripada sebelum ini.

"Walaupun ramai pemain bagi musim ini terdiri daripada muka baharu tetapi  saya tidak menghadapi masalah untuk memahami corak permainan mereka dan memastikan dapat memberi yang terbaik setiap kali beraksi bersama mereka," katanya kepada mStar Online.

Syazwan yang merupakan pemain kelahiran Perlis adalah salah seorang tonggak penting dalam memastikan Kedah menjuarai Liga Premier musim lalu dan beraksi di final Piala Malaysia.

"Saya tidak kisah kalau tidak menjadi penjaring terbanyak untuk pasukan Kedah, asalkan dapat membantu rakan sepasukan lain menghasilkan gol. Ini sudah cukup untuk memberi kepuasan kepada diri saya kerana kejayaan pasukan adalah matlamat utama setiap kali kami beraksi," tegasnya.

Syazwan memberitahu, kehadiran pemain seperti Sandro Da Silva, Liridon Krasniqi, Carlos Eduardo (Kahe) dan Bang Seung Hwan serta  Baddrol Bakhtiar, Amirul Hisyam Awang Kecik, Azmeer Yusof dan Khairul Helmi Johari berjaya memantapkan prestasi semasa Kedah.

"Tidak ada apa yang kurang pada permainan Kedah tetapi ada kalanya nasib tidak menyebelahi dan kami terpaksa berdepan kekecewaa," ujarnya.

Kedah, Helang Merah, Sabah, Piala FA

Artikel Lain