suria

Persahabatan Antarabangsa: England Kalahkan Jerman Pada Saat Akhir

Eric Dier (dua, kiri) menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan sepasukannya setelah berjaya menyumbat gol kemenangan buat England. -fotoEPA
ENGLAND mencatat kemenangan pada saat-saat akhir dalam perlawanan persahabatan antarabangsa (Euro 2016) menentang Jerman, awal pagi Ahad.

Menang 3-2, The Three Lions sebelum itu ketinggalan dua gol di tempat lawan, dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Olympia, Berlin.

England turun tanpa dua pemain Manchester City, Joe Hart dan Raheem Sterling yang mengalami kecederaan. Jack Butland diberi kepercayaan mengawal gawang England.

Di barisan hadapan, Harry Kane menjadi tunggak utama dengan disokong oleh Dele Alli, Danny Welbeck, dan Adam Lallana.

Sementara itu, Jerman menurunkan Mario Gomez sebagai penyerang tunggal. Di belakangnya diletakkan Marco Reus, Mesut Oezil dan Thomas Mueller.

Dalam perlawanan ini, Jerman tampil lebih dominan dengan penguasaan bola mencapai 63 peratus. Tetapi England mencipta lebih banyak peluang.

Daripada 19 percubaan menyumbat gol, enam di antaranya tepat sasaran. Sementara Jerman cuma membuat 10 percubaan dan hanya dua gol yang mengarah ke pintu gol.

Jerman mendahului permainan dengan 1-0 melalui gol Toni Kroos pada minit ke-43 yang melepaskan tendangan kaki kiri dari luar kotak penalti yang gagal ditangkap Butland.

Pada minit ke-57, Jerman menambah mata, menjadikan kedudukan 2-0 menerusi bola tandukan Gomez. Penjaga gol England yang diganti, Fraser Forster kaku seketika melihat gawangnya bolos.


Namun pada minit ke-61 England bangkit mengubah kedudukan 1-2 melalui gol Kane.

Kedudukan terikat 2-2 setelah Jamie Vardy mencipta satu gol cantik untuk England selepas itu.


England menang apabila Eric Dier menanduk bola Jordan Henderson pada masa kecederaan.

Artikel Lain