suria

Malaysia Yakin Mampu Cabar Nepal

Frank Bernhardt (dua, kiri) bersalaman dengan jurulatih pasukan Nepal B-22, Koji Gyotoku (dua, kanan) pada sidang media Mesyuarat Koordinasi Perlawanan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa antara skuad B-22 negara menentang Nepal B-22 pada Sabtu. Foto Bernama

SEREMBAN: Keserasian pemain menjadi senjata utama skuad kebangsaan bawah 22 tahun (B-22) apabila melayan kunjungan Nepal dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, Ahad malam.

Justeru, ketua jurulatih Frank Bernhardt mahu anak buahnya memantapkan keserasian yang terjalin dalam sesi latihan mahupun rentak pemainan ketika menentang skuad kebangsaan B-22 Filipina, Rabu lepas.

“Sekiranya pemain dapat mengekalkan rentak permainan seperti ditunjukkan ketika mengalahkan Filipina 4-1, saya yakin kita boleh mencapai kemenangan ke atas Nepal,” katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Beliau menuntut pemain supaya mempamerkan komitmen dan fokus serta memperagakan aksi yang lebih baik pada perlawanan itu.

Jurulatih itu yakin Malaysia dapat menandingi kemampuan Nepal yang disifatkan sebagai skuad yang mantap dan lebih berpengalaman berbanding Filipina.

“Ini adalah peluang untuk pemain menimba pengalaman berguna serta menampilkan prestasi yang meningkatkan dari perlawanan demi perlawanan,” katanya.

Kapten pasukan, Mohamad Faris Shah Mohd Rosli berkata, rakan-rakannya telah dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan, taktikal dan strategi yang diserapkan jurulatih dari Jerman itu.

Sementara itu, ketua jurulatih Nepal, Koji Gyotoku, berkata beliau baru sahaja melatih pasukan Nepal sejak tiga minggu lepas dan masih lagi mengkaji corak permainan pasukannya.

Jurulatih dari Jepun itu berkata, perlawanan tersebut akan digunakan sebagai medan untuk menilai dan mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan itu sebelum melakarkan perancangan jangka panjang. 

Kapten pasukan Nepal, Biraj Maharjan pula berharap ketua jurulatih baharu itu dapat membuat sesuatu bagi meningkatkan prestasi pasukan itu serta membentuk sebuah skuad yang mantap dan disegani pada masa akan datang. - Bernama

Artikel Lain