suria

Peluang Barisan Serangan Baiki Kelemahan Penyudah - TCH

BARISAN serangan Kedah berpeluang memperbaiki kelemahan penyudah dan mendapatkan semula sentuhan gol dalam perlawanan persahabatan menentang Perlis di Kangar pada Jumaat malam.

Ketua Jurulatihnya, Tan Cheng Hoe, berkata, masalah yang dihadapi barisan serangan bukanlah tidak dapat beraksi dengan baik tetapi hanya gagal menepati sasaran untuk menjaringkan gol.

"Saya gembira kerana ketika bertemu Sabah di Kota Kinabalu Jumaat lalu penyerang mampu menepati sasaran sebanyak dua kali untuk kita meraih kemenangan 2-1 tetapi daripada peluang yang diperolehi kita sepatutnya mencatatkan kemenangan  lebih selesa.

"Pertamuan dengan Perlis malam ini memberi pelaung kepada barisan pemain untuk mengasah ketajaman di hadapan pintu gol lawan kerana ini amat perlu bagi kita meraih kejayaan.

"Untuk itu saya akan beri peluang kepada kesemua pemain dan barisan serangan untuk meningkatkan prestasi serta mendapatkan gol ketika berpeluang berbuat demikian kerana selepas ini kita akan berdepan lawan yang hebat seperti Selangor dalam Liga Super," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe memberitahu, dalam perlawanan persahabatan itu,  Liridon Krasniqi serta enam pemain yang bersama pasukan Harimau Malaysia dan skuad projek Sukan SEA tidak akan beraksi manakala selebihnya akan diturunkan seperti biasa.

"Ketiadaan Farhan Abu Bakar yang bersama pasukan Harimau Malaysia akan diganti dengan Abdul Hadi Abdul Hamid dan Syzwan Abdullah bagi memberi peluang kepada mereka.

"Saya yakin barisan pemain simpanan mempunyai kemampuaan untuk mengambil alih tempat kesebelasan utama dan inilah yang menjadi kekuatan kita untuk terus menjadi pencabar utama dalam Liga Malaysia musim ini.

"Saya harap pemain yang beraksi pada perlawanan malam ini tidak mempersiakan peluang mereka untuk menyerlah demi meletakkan diri dalam kesebelasan utama," jelasnya.

Kedah, Helang Merah, Perlis, Kangar

Artikel Lain