suria

Bekas Pemain England & Sunderland Adam Johnson Dihukum Penjara 6 Tahun

Adam Johnson
> Mahkamah mendapati dia bersalah kerana cuba mencabuli gadis bawah umur

>
Ketika hukuman dijatuhkan Adam tidak menunjukkan sebarang reaksi dan perasaan

>
Hakim menegaskan yang pemain bolasepak profesional itu sedar setiap perbuatannya

>
Sebaliknya mahkamah mendapati dia telah menggunakan popularitinya untuk mengoda pelajar berusia 15 tahun itu

PEMAIN bolasepak profesional England dan juga kelab Liga Perdana Inggeris, Adam Johnson telah dijatuhkan hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Crown Bradford setelah dia didapati bersalah cuba mencabuli seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun beberapa tahun lalu.

Pemain kelab Sunderland itu cuba menggunakan pengaruh popularitinya untuk menggoda pelajar perempuan itu yang juga merupakan peminat setianya.

Johnson juga didapati cuba mempengaruhi pelajar itu untuk tujuan memperolehi habuan seksual daripadanya.

Pemain yang memperolehi pendapatan sebanyak £60,000 seminggu itu tidak menunjukkan sebarang reaksi atau emosi ketika hukuman dibacakan dihadapannya oleh Hakim Jonathan Rose.

Hukumannya akan berjalan dengan serta merta.

"Saya dapati awak langsung tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah walaupun ini adalah hukuman penjara awak yang pertama. Apa yang terjadi ini adalah kesalahan awak sepenuhnya," kata hakim berkenaan.

Kata Hakim Rose lagi, hakikat bahawa Johnson telah membawa mangsanya ke satu tempat yang gelap dan tersembunyi membuktikan niatnya yang jelas untuk apa dia berbuat demikian.

"Awak cuba menyembunyikan kelakuan jenayah awak dan impak yang ditinggalkan akibat perbuatan awak itu telah menyebabkan mangsa awak kini terpaksa berhadapan dengan tekanan hidup dan perlu melalui proses terapi yang panjang," kata hakim itu lagi.

Hakim itu menambah yang Johnson telah menggunakan populariti dan kedudukannya sebagai seorang pemain bolasepak profesional untuk mempengaruhi mangsa yang juga merupakan peminatnya dan seterusnya melakukan perbuatan terkutuk itu.

Di dalam penghakimannya itu, Hakim Rose menambah yang mangsa adalah pengikut setia kelab bolasepak Sunderland yang sentiasa menanti dan menunggu di pintu stadium setiap kali selepas perlawanan berakhir untuk bertemu dan merakam gambar pemain kesukaannya iaitu Johnson.

Tetapi, Johnson di sebalik sedia maklum akan umur peminatnya itu masih meneruskan hajatnya untuk melakukan hubungan seks dengan gadis itu dan menunggu saat yang sesuai untuk mengadakan hubungan seksual kerana mendapati dia adalah seorang yang sangat menawan.

Hakim itu menegaskan tindak tanduk Johnson selepas itu hanya menjurus kepada satu perkara sahaja iaitu ingin melakukan hubungan seksual sedangkan dia sedar yang gadis itu masih di bawah umur.

Mahkamah dimaklumkan yang sepanjang perkenalanan mereka, Johnson telah mengirim tidak kurang dari 800 teks kiriman ringkas (SMS) kepada mangsanya.

Di dalam salah satu kiriman sms itu, Johnson telah meminta mangsanya supaya bertemu dengannya di satu tempat yang tersembunyi dan sulit.

Dalam pertemuan yang kedua mereka, Johnson didapati telah mencium dan meraba pelajar sekolah itu dan selepas itu dalam kiriman smsnya cuba mengoda dan memperdaya mangsanya supaya mereka berasmara di tempat duduk belakang kereta dalam pertemuan yang seterusnya.

Johnson, 28, telah bermain mewakili England sebanyak 12 kali. Persatuan Bolasepak England dalam reaksi segera telah mengumumkan bahawa mereka dengan ini membuat keputusan untuk menarik balik segala pengiktirafan yang mencatatkan penyertaan pemain itu sebagai pemain kebangsaan.

Ini bermakna kesemua 12 perlawanan yang diwakilinya untuk negara akan terguggur dari senarai rasmi persatuan.

Kali terakhir Johnson bermain mewakili negaranya ialah pada Mei 2012.

Menurut peguam pemain itu, mereka bercadang untuk memfailkan rayuan di atas keputusan yang dijatuhkan hari ini.

Artikel Lain