suria

Barisan Terbaik Ke Piala Thomas - BAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menurunkan barisan terbaik negara ke pusingan akhir Piala Thomas Mei ini, biarpun tumpuan utama adalah Sukan Olimpik yang diadakan tiga bulan selepas itu.

Ini disahkan Pemangku Presiden BAM Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid yang sekali gus bererti pasangan veteran, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong berkemungkinan besar akan kembali dalam skuad kebangsaan untuk kejohanan dwitahunan itu.

Menurut Mohamed Al-Amin, senarai muktamad pemain ke Piala Thomas yang akan diadakan di Kunshan, China dari 15-21 Mei akan diketahui akhir bulan depan.

Mohamed Al-Amin berkata beliau telah meminta Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM menilai persembahan pemain negara susulan prestasi hambar sewaktu Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas di India, bulan lepas, menyaksikan Malaysia sekadar mara ke suku akhir.

"Kemungkinan besar kita akan letakkan pemain terbaik, namun tumpuan kita pasti lebih kepada persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro," katanya.

Beliau yang juga ketua kontinjen ke Sukan Olimpik Rio berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perjumpaan bersama pengurus pasukan bagi sukan yang telah melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu, di Wisma OCM di sini, Selasa.

Sebelum ini, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei turut mengharapkan Kien Keat-Boon Heong akan disenaraikan ke Kunshan bagi memperkuatkan cabaran Malaysia yang juga merupakan naib juara edisi 2014.

Sebagai rekod, bagi kempen 2014, hanya Chong Wei dan Boon Heong yang mempunyai pengalaman beraksi dalam Piala Thomas manakala pemain lain baru membuat penampilan pertama di kejohanan itu.

Menyentuh undian Piala Thomas semalam, Mohamed Al-Amin menegaskan BAM masih belum meletakkan sasaran khusus walaupun ramai pihak meramalkan skuad negara mampu sekurang-kurangnya layak ke suku akhir selepas diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, England dan Jerman.

Beliau, bagaimanapun mengakui skuad wanita negara berdepan laluan penuh ranjau selepas diundi bersama juara 13 kali yang juga tuan rumah China, selain Denmark dan Sepanyol, namun mengharapkan pemain muda negara mampu melakukan kejutan.

"Bagi saya, undian Piala Thomas agak bagus cuma saya berharap kita dapat memberikan persembahan terbaik pada kali ini berbanding pusingan kelayakan (BATC di India)," jelas Mohamed Al-Amin.

Malaysia membariskan pemain muda di BATC yang diterajui juara kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli, berikutan pemain senior memberi tumpuan untuk mengejar mata kelayakan ke Sukan Olimpik.


Untuk rekod, Malaysia menjuarai Piala Thomas sebanyak lima kali -- 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992, namun tiada pencapaian membanggakan dalam Piala Uber.

Artikel Lain