suria

Bayern Munich, Barcelona Mara Ke Suku Akhir Liga Juara-Juara

BAYERN Munich menempah tiket ke aksi suku akhir saingan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Juventus 4-2 dalam perlawanan 16 pasukan akhir di Allianz Arena awal pagi Khamis.

Bayern mencatat rekod mara ke suku akhir buat kali ketujuh dalam tempoh lapan tahun dengan agregat 6-4 selepas mencatat seri 2-2 pada aksi pertama di Turin sebelum ini.

Pun begitu, aksi awal pagi ini menyaksikan Bayern terpaksa bekerja keras sebelum meraih empat gol apabila pemain lawan Paul Pogba membuka jaringan seawal minit kelima perlawanan gara-gara kesilapan David Alaba dan Manuel Neuer.

Juan Cuadrado menambah gol kedua Juve minit ke-28 sekaligus menjadikan perlawanan semakin menarik.

Anak buah Pep Guardiola hanya berjaya memecah kebuntuan gol pada minit ke-73 melalui tandukan padu Robert Lewandowski.

Thomas Mueller memusnahkan harapan Juve dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-90 sebelum pemain simpanan Thiago Alcantara menjaringkan gol ketiga pada masa tambahan, 108'.

Manakala pemain pinjaman dari Juve, Kingsley Coman memastikan Bayern selesa mencatat kemenangan dengan gol keempat minit ke-110 menewaskan penjaga gol lawan, Gianluigi Buffon. 

Sementara itu, satu lagi perlawanan perebutan ke saingan lapan terbaik ini menyaksikan Barcelona selesa mencatat kemenangan ke atas Arsenal dengan agregat 5-1.

Barca meraih kemenangan 3-1 pada aksi kedua di Nou Camp ini menerusi jaringan Neymar (m-18), (Suarez 65') dan Lionel Messi minit ke-88.

Manakala gol saguhati Arsenal dijaringkan Elneny pada minit ke-51.

Artikel Lain