suria

Chong Wei Tahu Waktu Sesuai Capai Kemuncak Prestasi - Dr Ramlan

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei adalah seorang pemain profesional yang lebih mengetahui keupayaan dirinya  untuk mencapai kemuncak prestasi pada masa sesuai.

Penasihat Menteri Belia dan Sukan Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata kekalahan mengejut Chong Wei pada Kejohanan Badminton Seluruh England baru-baru, adalah perkara pernah dialami pemain terkemuka dunia yang lain.

"Semua atlet berprestasi tinggi, kadang-kala prestasi mereka hambar...yang penting kita mengkaji secara profesional perkara yang perlu diberi penambahbaikan.

"Saya percaya Chong Wei tahu bila dia akan capai kemuncak prestasi dan sudah pasti jurulatihnya (Hendrawan) akan mengatur perancangan terbaik untuk Chong Wei," katanya kepada Bernama, selepas melancarkan buku Latihan Beban di Pusat Sukan Universiti Malaya di sini, Rabu.

Beliau, bagaimanapun berkata Chong Wei dan jurulatihnya perlu mengkaji kesilapan ketika beraksi di Seluruh England supaya perkara yang sama tidak  berulang pada kejohanan akan datang.

Dr Ramlan berkata pencapaian Chong Wei yang kini menduduki ranking kedua dunia daripada kedudukan ke-183 sebelum ini, adalah perkara yang sudah dijangkakan.

"Chong Wei memang berkebolehan, rankingnya jatuh bukan kerana prestasi beliau menurun tetapi beliau tidak beraksi kerana masalah kes doping.

"Saya percaya beliau dapat meraih pingat emas (pada Sukan Olimpik 2016), seluruh rakyat Malaysia mahu melihat Chong Wei mencapai kejayaan itu," katanya.

Chong Wei merupakan pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.-- Bernama

Artikel Lain