suria

Tengku Abdullah Pertimbang Keputusan Letak Jawatan Presiden FAM

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersedia mempertimbangkan keputusan baginda untuk meletak jawatan selaku presiden badan induk berkenaan.

Keputusan berkenaan dicapai setelah Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan pertemuan tertutup dengan baginda, di sini Khamis.

Hamidin dalam kenyataan berkata menerusi perjumpaan itu, beliau menyampaikan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Isnin lepas, yang menolak hasrat baginda, dan terus menerajui badan induk itu sehingga 2018.

"Selepas berbincang daripada hati ke hati, keputusan yang dicapai tadi ialah Tengku Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM atas keputusan tersebut.

"...(baginda juga) memahami segala penjelasan yang disampaikan oleh saya pada hari ini mengenai harapan barisan ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM," kata Hamidin.

Hamidin turut memaklumkan Tengku Abdullah akan menyatakan pendirian muktamad baginda mengenai perkara berkenaan dalam tempoh terdekat.

Isu peletakan jawatan daripada menerajui FAM bukanlah perkara baharu kerana baginda pernah menyuarakan hasrat sama selepas kecewa dengan kekalahan memalukan 0-10 Malaysia kepada Emiriah Arab Bersatu pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, September lepas.

Baginda turut dilaporkan sebagai berkata akan menyerahkan tugas menerajui FAM secara berperingkat kepada Timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah bagi memastikan badan induk itu mempunyai pentadbiran yang mantap. - BERNAMA

FAM, Tengku Abdullah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain