suria

12 Hari Bagi TFCII Baiki Kelemahan - Rahmad

Patrick Dos Santos (kiri) melompat ke udara bersaing dengan penjaga gol PDRM Muhammad Haziq Nadzli cuba mendapatkan bola dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Selasa malam.Foto: Bernama

KUALA TERENGGANU: Kegagalan barisan hadapan terutama penyerang utama Terengganu FC II (TFCII), Patrick Dos Santos memberikan sumbangan yang diharapkan sememangnya mengundang resah pengendali pasukan, Rahmad Darmawan.

Baginya kegagalan pasukan itu mencipta kemenangan pertama dalam Liga Super selepas empat perlawanan, banyak berpunca daripada jentera penggempur yang masih tumpul dalam usaha mereka menggegar gawang lawan.

Sehubungan itu, Rahmad, bekas jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, mahu menggunakan tempoh rehat 12 hari pasukannya untuk memantapkan lagi skuad berkenaan terutama barisan penyerang.

"Kelemahan utama pasukan ini berpunca daripada kegagalan mengambil peluang menjaringkan gol walaupun sudah terhidang di depan mereka.

"Dos Santos yang diharapkan menjadi pengempur gagal membantu dan prestasinya masih belum mencapai tahap sebenar.

"Kami ada masa 12 hari sebelum bertemu Perak di Ipoh dan saya akan gunakan masa ini sepenuhnya untuk memperbetulkan pasukan," katanya.

Pada Selasa, TFC II bangkit menerusi jaringan Makan Konate pada minit ke-70 untuk mengikat kedudukan 1-1 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendahului hasil gol penalti Ali Ashfaq pada minit ke-34.

Rahmad mengakui antara tumpuan utama dalam latihan akan terarah kepada usaha mendapatkan jaringan. TFCII yang baru mengutip dua mata daripada empat perlawanan kini menghuni tangga ke-10 liga, di atas Sarawak dan Pahang FC yang masing-masing dengan satu mata.-Bernama

Artikel Lain