suria

Ancelotti Tolak Tawaran Man Utd Sebelum Setuju Jadi Pengurus Bayern

Manchester United terlepas peluang mendapatkan khidmat Carlo Ancelotti selepas jurulatih berpengalaman itu memilih Bayern Munich dan menolak pelawaan United pada November 2015.

> United hubungi Carlo Ancelotti November lalu untuk ganti Louis van Gaal hujung musim ini

> Tapi Ancelotti tolak tawaran United untuk pergi ke Bayern Munich

> Bekas pengurus Chelsea dan Real Madrid itu merasakan Bayern berjaya menawan hatinya

> Pendedahan ini menunjukkan United memang berhasrat mengantikan Louis van Gaal

BAKAL pengurus Bayern Munich Carlo Ancelotti telah dihubungi oleh Manchester United pada November lalu untuk mengantikan Louis van Gaal pada musim hadapan tetapi tawaran tersebut ditolak kerana Ancelotti merasakan dirinya lebih diperlukan oleh kelab Jerman itu.

Pendedahan ini dibuat oleh portal berita akhbar Britain, The Daily Mail dalam laporan eksklusifnya pada Khamis.

Menurut laporan itu, hakikat bahawa Timbalan Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward sendiri yang mengerakkan inisiatif itu meninggalkan seribu satu tandatanya mengenai masa depan van Gaal.

Ini juga membuktikan yang United memang menyimpan hasrat untuk mengantikan van Gaal dengan pengurus lain sebaik sahaja musim ini tamat.

Bagaimanapun, ketika itu, Ancelotti turut sedang berunding dengan Bayern untuk mengantikan Pep Guardiola yang memutuskan tidak akan menyambung kontrak baru dengan Bayern.

Ancelotti dilaporkan memberitahu Woodward yang dia telah pun memberi janjinya kepada Bayern untuk menjadi pengurus mereka.

Jurulatih yang berasal dari Itali itu berjaya membawa pulang Piala Liga Juara-Juara Eropah sebanyak dua kali ketika menjadi pengurus AC Milan dan selepas itu mengemudi Real Madrid untuk muncul juara buat kali ke sepuluh musim lalu.

Dia juga pernah menjulang piala itu dua kali sebagai pemain ketika bersama AC Milan.

Laporan terbaru ini sudah tentulah memberi impak saikologi ke atas van Gaal yang mengharungi lapan perlawanan tanpa sebarang kemenangan sehingga mereka berjaya menumpaskan Swansea City 2-1 hujung minggu lalu.

Mail Online melaporkan United mengambil pendirian membisu berhubung perkembangan terbaru ini.

Van Gaal berkeyakinan penuh yang dia dapat mengatasi kemarau gol dan membawa kelab itu keluar dari krisis yang sedang mereka alami sekarang.

United kini berada di tangga kelima liga memunggut 33 mata dan berada di belakang Arsenal, Leicester City, Manchester City dan Tottenham Hotspurs.

Artikel Lain