suria

Wow! United Mahu Tawar Real Madrid £75 Juta Untuk Gareth Bale

Pemain termahal dunia dari Real Madrid, Gareth Bale kini menjadi perhatian Manchester United untuk mempertajamkan barisan serangan mereka.

> Ryan Giggs akan digunakan sebagai perantara kerana dia berbangsa Welsh sama seperti Bale

> Pengurus baru Madrid, Zinedine Zidane akui Bale tidak gembira dengan pemecatan Rafa Benitez

> Sir Alex Ferguson dan David Moyes masing-masing gagal mendapatkan pemain sayap itu ketika era mereka

AKHBAR berpengaruh Britain, The Daily Mail pada Rabu melaporkan yang Manchester United sanggup menawarkan £75 juta kepada Real Madrid untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Wales, Gareth Bale bulan ini.

United ingin mencuri peluang pada pintu perpindahan yang dibuka semula selama sebulan ini untuk menarik Bale yang tidak puas hati dengan pemecatan Rafa Benitez sebagai pengurus Real Madrid pada Isnin lalu.

Tempat Benitez digantikan oleh legenda bolasepak Perancis, Zinedine Zidane.

Sehari selepas itu, Zidane mendedahkan dalam sidang akhbar yang Bale sedikit berasa kecewa dengan pemecatan Benitez kerana pemain sayap itu merasakan kariernya berkembang maju di bawah bimbingan jurulatih veteran tersebut.

Bale, 26, mencatat sejarah sebagai pemain termahal dunia pada 2013 selepas Madrid mengeluarkan £86 juta untuk membawanya ke Bernabeu dari kelab London, Tottenham Hotspurs dengan bayaran gaji sebanyak £300,000 seminggu.

Dia mengikat kontrak selama enam tahun dengan Madrid.

Rekod tersebut sebelum ini disandang oleh Cristiano Ronaldo yang dibeli oleh Madrid dari Manchester United lima tahun sebelum itu.

Pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu menentang Atletico Madrid, Bale adalah salah seorang penjaring gol yang membawa piala itu kembali ke Madrid.

Mereka menang 4-1 ke atas Atletico dan ia akan dikenang sebagai kejuaraan kesepuluh Madrid menjulang piala paling berprestij di dunia selepas Piala Dunia.

Artikel Lain