suria

PHNT Sokong Hasrat Faizal Beraksi Di Luar Negara

Faizal Saari.

KEMAMAN: Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) menyokong hasrat penyerang negara Faizal Saari untuk bermain di liga luar negara sementara menunggu penggantungan daripada skuad kebangsaan yang dikenakan ke atasnya berakhir.

Presidennya Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata pihaknya tiada halangan sekiranya hasrat berkenaan mampu mendatangkan manfaat kepada pemain pasukan Terengganu itu.

"Jika peluang Faizal lebih baik di luar negara, kita tiada masalah dan PHNT menyokong demi kebaikan dan masa depan pemain itu," katanya kepada  pada Rabu.

Laporan akhbar pada Selasa memetik Faizal sebagai berkata beliau berhasrat menyertai liga luar negara dengan tiga destinasi menjadi pilihannya iaitu Jerman, Oman dan Hong Kong, sementara menunggu tempoh hukuman ke atasnya berakhir.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menggantung Faizal, 25, selama enam bulan daripada menyertai skuad kebangsaan selepas gagal menghadiri sesi latihan sejak 2 Oktober lalu.

Wan Ahmad Nizam berkata penggantungan itu hanya membabitkan skuad kebangsaan dan Faizal masih boleh mewakili negeri berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata PHNT akan mengadakan mesyuarat eksekutif Jumaat ini bagi membincangkan pembentukan pasukan bagi menghadapi saingan liga domestik 2016 termasuk pelantikan jurulatih, pengurus dan pegawai pasukan.

"PHNT akan menyiapkan pasukan lebih awal, lebih-lebih lagi untuk mengekalkan kejuaraan berganda Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Piala TNB," katanya.

Beliau berkata PHNT kini dalam proses pemilihan pemain untuk membentuk pasukan negeri itu. - BERNAMA

hoki, PHNT, Faizal Saari

Artikel Lain