suria

Saya Sendiri Boleh Letak Jawatan Sebelum Dipecat - Van Gaal

LOUIS van Gaal mendedahkan dia sendiri boleh membuat keputusan untuk meletak jawatan sebagai pengurus Manchester United sebelum dipecat.


Van Gaal dilaporkan bersedia meninggalkan Old Trafford jika United terus tewas untuk kali kelima berturut-turut pada aksi bertemu Chelsea Isnin ini.

Pengurus dari Belanda itu terpaksa mencari formula terbaik agar skuadnya mampu meraih kemenangan selepas tewas 2-0 kepada Stoke pada aksi Sabtu malam.

“Bukan keputusan kelab sahaja yang memecat saya. Kadang-kala saya sendiri yang akan membuat keputusan. Saya sendiri yang akan bersuara terlebih dahulu,” ujar pengurus berusia 64 tahun itu.

Pada aksi kekalahan kepada Stoke, Van Gaal mengambil risiko buat kali pertama mengetepikan kapten Wayne Rooney dalam senarai utama skuadnya yang menyaksikan pasukan tuan rumah meraih dua gol awal melalui Bojan Krkic dan Marco Armautovic.

Rekod empat kekalahan berturut-turut United ini dianggap terburuk selepas tahun 1961.

“Keadaan semakin sukar kerana saya sebahagian daripada empat kekalahan ini, jadi semua orang menunding jari ke arah  saya. Dan sudah tentu saya perlu menghadapinya.

“Bagi saya, apa yang lebih penting adalah perkara yang diberitahu secara peribadi kepada saya, dan bukannya secara terbuka.

“Tetapi saya tidak akan mendedahkan perkara itu kerana ia bukan urusan kamu.

“Saya sendiri boleh meletak jawatan tetapi ada sesuatu yang dibincangkan dengan Ed Woodward (Timbalan Pengerusi Eksekutif Manchester United), dan bukannya dengan kamu. Malah ada sesuatu yang tidak perlu saya dedahkan,” jelasnya.

Selain itu, Van Gaal belum pasti sama ada akan bersama skuad menjelang aksi bertemu Chelsea nanti.

“Kita perlu tunggu dan lihat, tetapi saya rasa ya".

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain